Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Selasa

4 Ogos 2020

4:07:04 PTG
1060311

Iran Catat Kes COVID-19 Tertinggi Dalam Tempoh Lebih Sebulan

Iran hari ini mengesahkan lebih 2,700 jangkitan COVID-19 baharu, jumlah harian tertinggi dalam tempoh lebih sebulan, tatkala kementerian kesihatan meminta mereka yang tidak memakai pelitup muka dikenakan denda.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Iran hari ini mengesahkan lebih 2,700 jangkitan COVID-19 baharu, jumlah harian tertinggi dalam tempoh lebih sebulan, tatkala kementerian kesihatan meminta mereka yang tidak memakai pelitup muka dikenakan denda.

Kematian dan jangkitan COVID-19 meningkat di republik Islam itu sejak merekodkan angka bulanan yang rendah pada bulan Mei.

Ini mendorong Iran untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di ruang tertutup dan mengenakan semula sekatan yang ditarik balik secara beransur-ansur sejak April untuk membuka kembali ekonomi.

Walaupun ada peraturan, mereka yang tanpa pelitup muka masih dapat dilihat di dalam kedai dan bank di ibu kota, dan televisyen negeri sering mengkritik mereka kerana melakukannya.

"Dalam 24 jam terakhir, kes baharu yang disahkan dilaporkan berjumlah 2,751," kata jurucakap kementerian kesihatan, Sima Sadat Lari dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak 5 Jun, ketika kementerian melaporkan 2,886 jangkitan dalam sehari.

Jumlah terbaru menjadikan jumlah kes yang dikenal pasti di Iran sejak akhir Februari adalah sebanyak 314,786, tambah Lari.

Seramai 212 orang lagi mati akibat virus itu dalam tempoh selama 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan 17,617 orang.

Timbalan menteri kesihatan Iran meminta agar mereka yang tidak mematuhi peraturan pelitup muka dikenakan denda, sebagai satu-satunya hukuman yang ada bagi mereka yang enggan mematuhi peraturan di tempat awam.

"Kaedah pencegahan harus digunakan secara semula jadi, salah satunya adalah mendenda mereka yang tidak memakai pelitup muka," kata agensi berita ISNA yang memetik kenyataan Iraj Harirchi.

"Tetapi mereka yang 'tidak mampu membeli pelitup muka akibat masalah kewangan harus dikecualikan," tambahnya, tanpa menjelaskan bagaimana itu dapat ditentukan. - AFP