Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Rabu

12 Ogos 2020

2:57:51 PTG
1062272

Jangkitan COVID-19 Filipina Cecah 140,000 Kes, Terburuk Di Asia Tenggara

Jumlah jangkitan COVID-19 di Filipina meningkat kepada 139,538 kes selepas Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 2,987 kes harian baharu semalam, sekali gus muncul negara paling teruk terjejas di Asia Tenggara.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Jumlah jangkitan COVID-19 di Filipina meningkat kepada 139,538 kes selepas Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 2,987 kes harian baharu semalam, sekali gus muncul negara paling teruk terjejas di Asia Tenggara.

DOH berkata, jumlah pesakit sembuh sepenuhnya meningkat kepada 68,432 orang selepas merekodkan 280 kes lagi pulih, manakala angka korban meningkat kepada 2,312 dengan 19 kes kematian baharu.

Metro Manila mendahului lima wilayah dengan 1,510 kes COVID-19 harian disahkan, yang tertinggi dilaporkan semalam, disusuli 398 kes di Cavite, Laguna (144 kes), Iloilo (135 kes) dan Cebu (119 kes).

Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque, berkata terdapat penularan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan keupayaan saringan ditingkatkan.

"Ini akan membolehkan kita asingkan individu disahkan positif dan menghentikan penularan," katanya pada sesi taklimat di Davao, selatan Filipina semalam.

Ditanya sama ada perintah berkurung yang akan tamat pada 18 Ogos ini akan dilanjutkan, Roque berkata apa-apa saja mungkin berlaku, walaupun tindakan yang diambil mungkin amat tidak disukai.

Perintah berkurung selama dua minggu itu dikuatkuasa oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, bermula 4 Ogos lalu di Metro Manila, wilayah terpencil Laguna, Cavite, Rizal dan Bulacan.

Filipina merekodkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi kelmarin dengan hampir 7,000 kes baharu.

Berdasarkan DOH, 1.7 juta orang sudah disaring di 101 makmal COVID-19 di Filipina, yang mempunyai kadar positif atau peratusan individu disahkan positif berbanding jumlah saringan sebanyak 9.9 peratus.

DOH berkata, pertambahan jumlah atau purata jangkitan baharu dihasilkan setiap kes COVID-19 adalah pada nisbah 1.239 iaitu seorang mampu menjangkiti lebih 1.239 orang.

Data terkini DOH menunjukkan kadar kematian di negara itu adalah 1.68 peratus berbanding jumlah keseluruhan kes. - AGENSI