Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24.com
Jumaat

14 Mei 2021

10:27:30 PTG
1140924

Mengenang peristiwa Nakba;

Iran minta negara Islam mengambil pendirian pertahankan hak Palestin menentang penjajahan

Kementerian Luar Negara Iran mengisyaratkan jalan keluar untuk masalah Palestin adalah mengadakan referendum dengan penyertaan semua penduduk Palestin yang asli, termasuk Muslim, Kristian dan Yahudi, atas tujuan menentukan nasib mereka dan menentukan jenis sistem politik mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Dalam pernyataan sempena peringatan peristiwa Nakba (15 Mei), Kementerian Luar Negeri Iran meminta kerajaan dan masyarakat Muslim di seluruh dunia mengenepikan perbezaan dan mengambil kedudukan bersatu dalam mempertahankan hak-hak Palestin yang sah demi menghadapi penjajah tanah Palestin.

Kementerian Luar Iran menerbitkan kenyataannya pada hari Jumaat bahawa, "Hari ini adalah ulang tahun Nakba, sementara Palestin yang tabah dan dikasihi menghadapi pusingan baru kejahatan memalukan yang dilakukan oleh pihak entiti perampas dan tidak berperikemanusiaan Zionis, sedangkan darah Palestin ditumpahkan dan berusaha bangun."

Kenyataan itu menjelaskan bahawa konspirasi antarabangsa 73 tahun yang lalu berkehendak melucutkan hak tanah Palestin daripada datuk nenek mereka pada 14 Mei 1948, manakala entiti pengganas dan orang asing datang menggantikan mereka. Zionis menjadikan Palestin yang dijajah sebagai pangkalan keganasan terhadap Rakyat Palestin dan negara-negara Islam di rantau ini. Amerika Syarikat dan beberapa kuasa dunia telah menyokong sepenuhnya entiti jahat ini selama tujuh dekad dan mengabaikan perbuatan jahat entiti pengganas ini secara tidak berkesudahan.

Kementerian Luar Negara Iran menambah, "Zionis telah melakukan banyak kejahatan terancang dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin termasuk negara-negara di wilayah ini hasil sokongan yang tidak wajar. Ini menjelaskan bahawa penjenayah Zionis menduduki seluruh tanah Palestin dengan kekuatan senjata, yang bertentangan dengan undang-undang dan piawaian antarabangsa, mengubah komposisi demografinya, mengusir penduduk asli dari tanah suci ini, dan menggantikan mereka dengan pendatang Zionis.

Kenyataan itu menegaskan, "Tatkala entiti Zionis yang dijajah dipertikaikan kesahihannya hari ini, malang sekali, kita menyaksikan putaran baru penodaan tempat-tempat keagamaan dan suci di al-Quds dan pembunuhan orang Palestin oleh entiti rasis ini." Jelas pernyataan itu sambil merujuk kepada tindak balas tegas bahawa perlwaanan rakyat Palestin ditujukan kepada entiti penjajah ini.

Kementerian Luar Iran turut mengecam keras tindakan jenayah baru-baru ini yang dilakukan oleh entiti penjajah terhadap rakyat Palestin yang tertindas, sambil menyeru kerajaan dan organisasi antarabangsa memenuhi tugas mereka untuk mengakhiri penjajahan, menghadapi kejahatan dan serangan berterusan daripada Zionis.

Kenyataan itu menekankan bahawa Iran menyatakan kesetiakawanannya dengan perjuangan Palestin, sambil mengisyaratkan satu-satunya jalan keluar untuk masalah Palestin adalah mengadakan referendum dengan penyertaan semua penduduk Palestin yang asli, termasuk Muslim, Kristian dan Yahudi, atas tujuan menentukan nasib mereka dan menentukan jenis sistem politik mereka.

Kementerian Luar Negeri menegaskan, "Satu-satunya cara untuk menghentikan ketidakadilan, pembunuhan, penyeksaan dan penghinaan warga Palestin setiap hari oleh Zionis yang dilucutkan nilai-nilai kemanusiaan adalah perlawanan secara menyeluruh. Ini disebabkan bantuan Allah semakin dekat, dan perlawanan yang sah dan bermoral para Mujahidin Palestin akan memaksa entiti haram zionis menerima kenyataan Palestin yang dikasihi."

Kenyataan itu menegaskan bahawa Republik Islam Iran menganggap Palestin sebagai sebahagian daripada badan negara Islam dan memnyai keutamaan walaupun terdapat segala konspirasi dan projek normalisasi yang memalukan yang mengiringi kejahatan entiti Zionis. Kementerian tersebut menyeru semua pemerintah, rakyat Islam dan badan bebas bangkit mempertahankan hak-hak rakyat Palestin yang terhormat daripada penjajah al-Quds dengan meninggalkan perbezaan mereka dan berpegang teguh pada perjuangan Palestin, sehingga pembebasan al-Quds sepenuhnya, penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, dan bersegera untuk memberi sokongan terhadap rakyat Palestin yang berani dan sabar dengan segenap kekuatan mereka.