AhlolBayt News Agency (ABNA)

source : www.bharian.com
Selasa

28 Jun 2022

8:03:49 PTG
1270760

3 sukarelawan pasukan vaksinasi polio maut di Pakistan

Tiga maut dan seorang kanak-kanak cedera selepas kumpulan militan yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah pasukan vaksinasi polio, hari ini.

Mereka yang maut ialah sukarelawan bertanggungjawab mengedarkan dos vaksin dan dua anggota polis.

"Militan tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah pasukan polio," menurut laporan rasmi Timbalan Pesuruhjaya Wilayah, yang menyenaraikan mangsa dan menambah bahawa pencarian untuk pelakunya sudah bermula.

Serangan di wilayah barat laut bersempadan dengan Afghanistan itu berlaku sehari selepas Pakistan melancarkan kempen nasional terbarunya untuk membasmi virus itu.

Pakistan melaporkan tiga kes polio baharu tahun ini selepas 15 bulan bebas jangkitan, semuanya di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan.

Menurut Bill Gates, pembiaya utama kempen pembasmian amal yang menulis di blognya pada Mei lalu, rasa tidak selamat dan maklumat salah tersebar luas di rantau itu menjadi cabaran kepada pihak berkuasa untuk mencapai sasaran memberi vaksin polio pada setiap kanak-kanak yang memerlukan.

Sekurang-kurangnya sebuah kumpulan militan Daesh di rantau itu mendakwa melakukan serangan sama terhadap pasukan polio, selepas secara palsu menggambarkan kempen itu sebagai konspirasi Barat untuk memandulkan kanak-kanak.

Pada Mac lalu, seorang wanita yang memberikan dos vaksin polio terbunuh di wilayah yang sama ketika pulang dari kerja.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, berkata kempen polio Pakistan yang terbaru menyasarkan 25 daerah yang paling terdedah kepada penyakit itu.

"Mari kita jayakan dan mengalahkan polio untuk selamanya," kata Sharif dalam ciapan Twitter pada awal kempen minggu ini, sambil menyatakan kekesalan kerana penyakit yang sangat berjangkit itu masih belum dihapuskan.

Pakistan dan Afghanistan adalah antara negara di dunia yang masih bergelut untuk membasmi polio. - REUTERS