Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Khamis

24 November 2022

9:49:52 PTG
1326000

Kim Yo-jong selar Korea Selatan sebagai tali barut AS, cetus ketegangan baharu

SEOUL: Adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyelar dan menggelar presiden serta kerajaan Korea Selatan sebagai 'bodoh' dan bersikap seperti 'anjing liar yang berlari sambil menggigit tulang diberi Amerika Syarikat (AS)'.

Kim Yo Jung berkata demikian dua hari selepas Kementerian Luar Korea Selatan memaklumkan sedang mengkaji semula sekatan unilateral tambahan terhadap Korea Utara berhubung ujian peluru berpandu yang dilepaskan bertubi-tubi baru-baru ini.

Kementerian itu turut berkata, ia juga mempertimbangkan sekatan ke atas dakwaan serangan siber Korea Utara mengenai sumber utama pembiayaan program senjatanya jika terus melakukan provokasi besar seperti ujian nuklear.

"Saya tertanya-tanya 'sekatan' dimaksudkan Korea Selatan, ia tidak lebih daripada seekor anjing liar berlari sambil menggigit tulang yang diberikan oleh AS, tindakan mereka ini biadap terhadap Korea Utara," kata Yo-jong dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media kerajaan. Dia turut menggelar Presiden baharu Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan pegawai pentadbirannya sebagai 'bodoh kerana terus mencetuskan situasi berbahaya'.

Yo Jung yang dianggap wanita paling berkuasa dan berpengaruh di Korea Utara berkata, ketika bekas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkuasa, Korea Utara 'tidak menjadi sasaran' memandangkan pemimpin itu berusaha mencari jalan perdamaian dua hala.Ia boleh dilihat mungkin percubaan untuk membantu memupuk sentimen anti-Yoon di Korea Selatan.

"Kami memberi amaran kepada mereka yang kurang ajar dan bodoh sekali lagi bahawa sekatan dan tekanan disebabkan desakan AS dan anak buahnya dari Korea Selatan terhadap (Korea Utara) akan semarak lagi api permusuhan dan kemarahan. Mereka akan menjadi tali barut bagi AS," katanya.

Bagaimanapun, perkhidmatan perisik Korea Selatan percaya Yo-jong yang juga Timbalan Pengarah Parti Pekerja adalah individu kedua paling berkuasa di Korea Utara selepas abangnya dan bertanggungjawab mengurus hubungan negara itu dengan Korea Selatan dan AS.

Sementara itu, penganalisis dari Institut Sejong di Korea Selatan, Cheong Seong-Chang berkata, ini bukan kali pertama Yo Jong menghamburkan kata kesat terhadap Korea Selatan.

Seong-Chang turut menjangkakan Korea Utara akan meningkatkan lagi ketegangan melalui tindakan ketenteraan di Semenanjung Korea memandangkan Yo-jong bertanggungjawab terhadap hubungan dengan Korea Selatan dan mempunyai pengaruh ke atas tentera Korea Utara.

Bulan lalu, Korea Selatan mengenakan sekatan ke atas 15 individu di Korea Utara dan 16 organisasi yang disyaki terbabit dalam aktiviti haram untuk membiayai program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Untuk rekod, Selasa lalu, Yo-jong memberi amaran bahawa AS akan menghadapi 'krisis keselamatan yang lebih buruk' kerana mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) mengutuk ujian peluru berpandu balistik antara benua yang dilepaskan Korea Utara baru-baru ini.

Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan potensi untuk menyerang seluruh AS.

342/