Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Khamis

2 November 2023

4:14:54 PTG
1407882

Lebih 20,000 penduduk Palestin yang cedera masih di Gaza - MSF

PARIS: Lebih 20,000 penduduk yang cedera akibat peperangan antara Israel dan Palestin, dilaporkan masih terperangkap di Semenanjung Gaza.

Menurut pertubuhan bantuan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), jumlah itu agak tinggi walaupun kini sudah bermula pemindahan awal membabitkan pemegang pasport asing dan rakyat Palestin yang cedera parah, merentasi sempadan ke Mesir. Katanya, proses pemindahan sebilangan orang yang cedera parah itu turut membabitkan 22 kakitangan antarabangsanya di Gaza, yang meninggalkan wilayah terbabit melalui laluan sempadan Rafah. "Namun, masih terdapat lebih 20,000 orang yang cedera di Gaza dengan akses terhad kepada penjagaan kesihatan akibat tindakan pengepungan itu," katanya.Menurut MSF, kakitangan Palestin pertubuhan itu masih menawarkan inisiatif penjagaan di wilayah itu, dan satu lagi pasukan antarabangsa sedang menunggu untuk memasuki wilayah terbabit bagi tujuan sama apabila keadaan mengizinkan. Katanya, pihaknya menggesa supaya lebih ramai orang dipindahkan, serta pelaksanaan gencatan senjata dibuat selain lebih banyak bantuan kritikal dibenarkan masuk."Mereka yang ingin meninggalkan Gaza mesti dibenarkan berbuat demikian tanpa berlengah lagi. Mereka juga mesti dibenarkan untuk kembali," katanya. Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza, serangan pengeboman sehingga kini sudah mengorbankan seramai 8,796 orang. Ketua agensi PBB yang membantu pelarian Palestin, Philippe Lazzarini, berjaya sampai ke wilayah itu Rabu lalu melalui persimpangan Rafah. Sebaik menyaksikan keadaan di Gaza, beliau mengakui tidak pernah melihat keadaan seumpamanya sebelum ini. "Saya terkejut menyaksikan semua orang di sana kelaparan, meminta makanan dan air," katanya kepada pemberita. 


342/