Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Sabtu

4 November 2023

6:14:17 PTG
1408471

'Bantuan kemanusiaan dari Malaysia tiba di Mesir akan segera dihantar ke Gaza'

KUALA LUMPUR: Pesawat 9M-WCA yang membawa kira-kira 20 tan barangan bantuan kemanusiaan dari Malaysia menerusi OPS Ihsan sudah selamat tiba di Lapangan Terbang Al-Trish, Mesir jam 8.25 pagi waktu tempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata barangan itu sudah dipindahkan ke kontena untuk dibawa terus ke pintu sempadan Rafah-Gaza. "Syukur Alhamdulillah. Pesawat 9M-WCA yang membawa barang bantuan kemanusiaan dari Malaysia melalui OPS Ihsan sudah selamat tiba di Lapangan Terbang Al-Trish, Mesir jam 8.25 pagi waktu tempatan, 4 November 2023. "Mengikut laporan dari lapangan, barangan bantuan dari Malaysia ini sudah dipindahkan ke lori-lori yang disediakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa terus ke sempadan Pintu Rafah-Gaza," katanya dalam kenyataan di Facebook beliau malam ini.Zambry berkata, jika tiada apa-apa halangan, semua barangan bantuan dari Malaysia ini akan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza dengan segera. "Terima kasih kepada semua atas bantuan dan sokongan termasuk doa yang tidak henti-henti untuk dipermudahkan segala urusan misi ini dan misi bantuan yang lain," katanya. Pelepasan pertama bantuan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza berlepas jam 11 malam tadi selepas tertangguh selama seminggu. Pesawat Boeing, B737 itu memuatkan 20 tan bantuan terdiri daripada barang-barang keperluan termasuk perubatan dan dilepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan Zambry dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali. Penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia kali kedua dijangka dilakukan pada minggu depan.

342/