Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Khamis

16 November 2023

3:17:28 PTG
1412306

Keluar waran tangkap Netanyahu tamatkan perang di Gaza

SEKITAR 78 tahun, dunia seakan mendapat semangat baharu susulan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober 1945. Ia ibarat cahaya menerangi kegelapan tahun selepas perang dunia. Namun, PBB tidak mampu melakukan hal sepatutnya bersangkutan kemanusiaan dan menamatkan konflik peperangan.

Misalnya, peperangan antara Palestin dan Israel sudah berlaku terlalu lama dan makin memburuk sejak 7 Oktober lalu, namun PBB gagal menangani isu itu sebaiknya. Ia bukan sahaja menunjukkan kegagalan PBB, tetapi juga membuat dunia tertanya-tanya ke mana hilangnya rasa hormat Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah? Apa yang dilakukan Israel terhadap Palestin adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa. Dalam undang-undang antarabangsa, terdapat dua elemen yang perlu diperhatikan negara yang mendakwa diserang bagi menjustifikasikan ia melancarkan serangan balas atas alasan pertahanan diri, iaitu keperluan dan berkadaran. Kedua-dua elemen ini saling berkait dan perlu diberi perhatian negara yang ingin menggunakan alasan mempertahankan diri. Malangnya, Israel gagal menunjukkan kedua-dua elemen ini. Adakah mereka suntuk memperhalusi dua elemen ini, sekali gus, membuatkan masyarakat dunia mempersoalkan sama ada Israel ingin mempertahankan diri susulan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu atau mahu menghapuskan rakyat Palestin di Gaza?Buktinya apabila jumlah korban di Israel setakat ini hanya 1,200 ribu orang berbanding lebih 11,000 warga Palestin. Angka ini sudah jelas tidak berkadaran dengan serangan dilancarkan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu. Israel juga melanggar prinsip yang mengawal etika peperangan seperti digariskan undang-undang antarabangsa apabila menyerang orang awam, membunuh kanak-kanak dan memusnahkan hospital. Malangnya, sehingga kini tidak ada tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka walaupun Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan resolusi bagi menghentikan peperangan di Gaza. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menghentikan peperangan di Gaza. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga dikatakan tidak tunduk kepada gesaan masyarakat dunia untuk menghentikan serangan ke atas Gaza. Justeru, apa lagi pilihan yang ada untuk masyarakat dunia bertindak bagi menghentikan krisis kemanusiaan di Gaza? Antara pilihan sekarang adalah memastikan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu. Waran tangkap ini sekurang-kurangnya mampu menekan Netanyahu dan menyekatnya daripada melakukan kunjungan ke mana-mana negara yang menerima bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Kes ini seperti dilakukan Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin. Sebahagian pengamal undang-undang antarabangsa mungkin berhujah waran tangkap ini tidak mampu memberi kesan signifikan dalam menyelesaikan peperangan Palestin-Israel. Namun, langkah ini sekurang-kurangnya mampu memberikan kemenangan moral kepada rakyat Palestin. Langkah ini juga boleh membuka ruang kepada pelbagai tindakan undang-undang terhadap Netanyahu pada masa hadapan.


342/