Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Rabu

22 November 2023

6:09:43 PTG
1414143

Penduduk Gaza berdepan musim sejuk tanpa keperluan asas

RAFAH: Sebahagian besar penduduk Gaza yang tinggal sehelai sepinggang selepas serangan Israel kini menghadapi ancaman musim sejuk tanpa keperluan asas bagi memanaskan badan.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA), suhu di Gaza kini semakin turun dan hujan lebat sudah menjadi perkara biasa, menandakan ketibaan musim sejuk.

Di kedai di tepi Jalan raya yang dipenuhi gerai, beratus-ratus rakyat Palestin dilihat sedang membelek pakaian terpakai untuk memeriksa saiz atau membandingkan kain, namun kenaikan harga yang melampau bermakna tidak ramai mampu membelinya.

Antara mereka ialah Khulud Jarboueh dan anak-anaknya , yang melarikan diri daripada kekejaman Zionis di Utara Semenanjung Gaza dengan hanya memakai seluar pendek dan kemeja-T.Kini Khulud membelek timbunan pakaian di gerai pakaian terpakai di luar sebuah sekolah di Rafah yang dikendalikan UNRWA, mencari apa sahaja untuk memanaskan tubuh mereka ketika hujan dan cuaca semakin sejuk. "Kami meninggalkan bandar Gaza bersama 20 ahli keluarga lebih sebulan lalu selepas dihalau tentera Israel ke selatan atas alasan keadaan lebih selamat di sana. "Kami tidak membawa apa-apa pakaian bersama kami. Tetapi sekarang cuaca semakin sejuk dan saya perlu membeli barangan musim sejuk," kata lelaki berusia 29 tahun itu kepada AFP. PBB berkata, kira-kira 2.4 juta penduduk di Gaza sedang kelaparan, dan 1.65 juta kehilangan tempat tinggal akibat perang manakala hampir separuh rumah di Gaza musnah atau rosak dan tahap kemiskinan menjadi lebih teruk. Petani, Walid Sbeh berkata beliau dihalau dari tanahnya, dan tidak mempunyai wang walau satu sen, sekali gus tidak mampu membeli pakaian terpakai meskipun hanya dijual pada harga satu shekel atau sekitar RM1.20 sehelai. Dia kini berlindung dalam khemah di sekolah UNRWA setiap malam bersama isteri dan 13 orang anaknya. "Saya tidak tahan, melihat anak-anak saya masih memakai pakaian musim panas mereka kelaparan, dan saya tidak mampu membelikan apa-apa untuk mereka. "Mereka memaksa kami keluar dari rumah kami dan membunuh kami dengan zalim. Jika kami tidak mati kerana bom, kami akan mati kelaparan atau dahaga, sakit dan selsema," katanya kepada AFP. Adel Harzallah, yang mengusahakan kedai pakaian, berkata stok baju tidur musim sejuknya habis dijual dalam masa dua hari. "Perang bermula ketika kami menunggu pakaian musim sejuk tiba. Ia sepatutnya melintasi sempadan tetapi ia ditutup selepas serangan 7 Oktober di Israel," katanya. Kini bekalan baju sejuk perniagaannya terkandas di sempadan, seperti bekalan makanan, air minuman dan bahan api, semuanya hanya boleh dilepaskan masuk ke Gaza dengan harga yang tinggi. - AFP

342/