Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Ahad

3 Disember 2023

6:37:34 PTG
1417073

Israel tarik balik perunding perisikannya dari Qatar selepas rundingan temui jalan buntu

BAITULMAQDIS: Israel hari ini memaklumkan menarik keluar perunding perisikannya, Mossad dari Qatar, negara yang menjadi pengantara usaha mendapatkan gencatan perang antara Israel-Palestin, selepas rundingan menemui 'jalan buntu'.

"Berikutan tiada jalan keluar dalam rundingan dan atas arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta Ketua Perkhidmatan Perisikan Mossad, David Barnea, mereka mengarahkan pasukan di Doha untuk kembali ke Israel," kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, memetik laporan Reuters, satu pasukan daripada perkhidmatan perisikan Mossad berada di Doha bagi berbincang dengan pengantara Qatar untuk menghentikan sementara pertempuran di Gaza, kata sumber yang diberi taklimat mengenai lawatan itu.

Rundingan yang dikendalikan oleh Qatar memfokuskan pada potensi pembebasan kategori baharu tebusan Israel, selain wanita dan kanak-kanak dan parameter gencatan senjata, yang menurut sumber itu berbeza dengan perjanjian gencatan senjata yang tamat semalam.Israel dan Hamas dikatakan mempertimbangkan parameter baharu untuk pembebasan tebusan dan gencatan senjata sejak sebelum ia berakhir. Gencatan senjata yang bermula pada 24 November lalu menyaksikan Hamas membebaskan wanita dan kanak-kanak Israel yang dijadikan tebusan sejak 7 Oktober sebagai pertukaran untuk pembebasan rakyat Palestin termasuk wanita yang ditahan di penjara Israel. Israel dan Hamas saling menyalahkan satu sama lain atas penamatan gencatan senjata, yang berlangsung seminggu dan dilanjutkan dua kali sebelum pengantara tidak dapat mencari jalan untuk meneruskan lanjutan bagi kali ketiga. Israel menuduh Hamas enggan membebaskan semua wanita yang ditawannya. Seorang pegawai Palestin berkata, kegagalan berlaku ke atas askar wanita Israel. 

342/