Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Sabtu

9 Disember 2023

7:40:10 PTG
1418713

Hamas gesa UNESCO lindungi bangunan bersejarah di Palestin

GAZA: Pejuang Hamas menggesa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melindungi bangunan bersejarah di Palestin yang terkepung susulan Israel mengebom Masjid Besar Omari hingga menyebabkan kemusnahan teruk pada mercu tanda itu.

Rakaman dan imej disiarkan di media sosial oleh kumpulan Palestin menunjukkan Masjid Omari, yang terbesar dan tertua di Gaza City, runtuh serta hancur, hanya menara kelihatan kekal utuh.

Masjid itu juga menjadi tapak suci Kristian atau Muslim sejak sekurang-kurangnya abad kelima.

"Jenayah menyasarkan dan memusnahkan tapak arkeologi harus diambil perhatian dan UNESCO perlu bertindak untuk memelihara warisan tamadun dan budaya yang hebat ini," kata Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Gaza selain menganggarkan 104 masjid musnah sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu.Penduduk Palestin, Ahmed Nemer, menyatakan kemarahan dan menuduh Israel menghapuskan kenangan mereka kerana disitulah dia berdoa dan bermain ketika zaman kanak-kanak.

Pemandu teksi dari Gaza, Mohammad Rajab, yang juga melarikan diri ke selatan dari rumahnya berkata ia adalah mercu tanda paling penting di bandar itu dan tindakan Israel adalah biadab.Hamas berkata, Masjid Othman bin Qashqar di Gaza City juga dilanda serangan udara Khamis lalu. Ia juga mengutuk kemusnahan Hammam al-Samara, perigi Turkiye terakhir di wilayah itu, di mana penduduk Gaza mandi selama lebih 1,000 tahun. Kumpulan Palestin, yang mentadbir Gaza sejak 2007, berkata tiga gereja juga dimusnah termasuk Gereja Ortodoks Yunani Saint Porphyrius berusia 1,000 tahun, yang tertua dan masih aktif di wilayah itu. Organisasi bukan kerajaan (NGO) Heritage for Peace mengira terdapat 195 tapak warisan seni bina di Gaza dan dalam tinjauan baru-baru ini, kumpulan itu mendapati 104 tapak rosak sebahagiannya akibat konflik berterusan. Warisan seni bina Gaza sudah lama terjejas ketika peperangan sebelum ini antara Israel dan Hamas. Israel pula berulang kali menuduh Hamas menggunakan masjid, sekolah dan infrastruktur awam lain untuk melindungi pejuangnya. 

342/