Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Sabtu

9 Disember 2023

7:40:54 PTG
1418714

Israel terus serang Gaza selepas tawaran gencatan senjata PBB gagal

GAZA: Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza selepas Amerika Syarikat (AS) menolak usaha luar biasa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk gencatan senjata dalam perang dua bulan itu.

Susulan itu, Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin dengan pantas mengecam tindakan veto AS apabila Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas meletakkan angka kematian terkini di Gaza pada 17,487 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Serangan Israel ke atas bandar selatan Khan Yunis membunuh enam orang manakala lima lagi maut dalam serangan berasingan di Rafah.

Kawasan Gaza yang luas musnah dan PBB berkata, kira-kira 80 peratus penduduk dipindahkan dengan berdepan kekurangan makanan, bahan api, air dan ubat-ubatan."Cuaca sangat sejuk dan khemah itu sangat kecil. Apa yang saya ada hanyalah pakaian yang saya pakai dan masih tidak tahu apa langkah seterusnya," kata penduduk, Mahmud Abu Rayan, yang berpindah dari Beit Lahia di utara. Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang menggesa gencatan senjata segera ditolak AS dengan menggunakan kuasa veto, semalam. Menteri Luar Israel, Eli Cohen, berkata gencatan senjata itu tidak akan meruntuhkan organisasi Hamas dan akan membolehkannya terus memerintah Gaza. Hamas kemudian menyelar penolakan AS terhadap tawaran gencatan senjata dan menganggap lebih banyak pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik akan berlaku. Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh, berkata ia adalah sesuatu yang memalukan dan satu cara kepada Israel untuk membunuh, memusnahkan dan memindahkan secara paksa. Veto itu dikecam dengan pantas oleh kumpulan kemanusiaan, dengan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata, UNSC bersubahat dalam 'penyembelihan' yang sedang berlangsung. Tentera Israel berkata, ia menyerang 450 sasaran di Gaza selama 24 jam, menunjukkan rakaman serangan dari kapal tentera laut di Mediterranean. Akibat serangan itu, Kementerian Kesihatan Hamas melaporkan 40 maut berhampiran Gaza City di utara, dan berpuluh-puluh lagi di Jabalia dan bandar utama selatan Khan Yunis. 

342/