Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Ahad

10 Disember 2023

7:23:20 PTG
1419031

Tentera Israel mula bergerak ke selatan Gaza

GAZA: Tentera Israel bergerak ke selatan Gaza ketika ratusan ribu orang awam melarikan diri mencari perlindungan daripada pengeboman dan pertempuran sengit dengan pejuang Hamas.

Hamas berkata Israel melancarkan satu siri serbuan sangat ganas, menyasarkan bandar selatan Khan Yunis dan laluan ke Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir, hari ini.

Sementara itu, dengan sedikit pilihan untuk keselamatan, orang ramai Gaza mula mencari perlindungan di hospital, semalam.

Di utara Gaza pula, seorang wartawan AFP berkata, ribuan berlindung di hospital Al-Shifa, yang tidak lagi berfungsi dan sebahagiannya musnah berikutan serbuan Israel bulan lalu.Dengan situasi itu, kumpulan bantuan membunyikan penggera mengenai situasi kemanusiaan "apokaliptik" di wilayah Palestin dan memberi amaran penyakit dan kebuluran. Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, hampir satu juta kanak-kanak dipindahkan secara paksa oleh konflik itu. Dengan pertempuran semakin sengit di selatan Gaza, di mana Israel sebelum ini menggesa orang awam mencari perlindungan, kanak-kanak kehabisan tempat selamat untuk pergi. Menurut Adele Khodr dari UNICEF, penduduk Gaza kini ditolak lebih jauh ke selatan ke kawasan kecil yang sesak tanpa air, makanan atau perlindungan, meletakkan mereka pada peningkatan risiko jangkitan pernafasan dan penyakit bawaan air. "Sekatan dan cabaran yang dikenakan terhadap bantuan kemanusiaan merentasi Gaza adalah satu lagi hukuman mati bagi kanak-kanak," katanya. Sementara itu, kumpulan Huthi Yaman yang disokong Iran mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang menuju ke pelabuhan Israel melainkan makanan dan ubat-ubatan dibenarkan masuk ke Gaza. 


/342