Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ابنا
Rabu

13 Disember 2023

3:59:55 PTG
1419953

DUN Perlis meluluskan usul kutuk kekejaman Israel

Dipetik daripada Utusan Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sebulat suara meluluskan usul mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA): Dipetik daripada Utusan Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sebulat suara meluluskan usul mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Usul itu diluluskan pada Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis Ke-15 hari ini.

Terdahulu, usul tersebut dikemukakan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil.

Menurut Mohd Shukri, jenayah dan kekejaman rejim Israel sudah berlarutan sejak sekian lama malah ia masih dipandang sepi tanpa ada sebarang solusi yang kukuh dari kuasa dunia bagi menghentikan konflik ini.

“Hari ini, kekejaman masih berlanjutan di Semenanjung Gaza dan menyebabkan pembunuhan besar-besaran tanpa ada belas ihsan terutamanya kepada golongan yang tidak berupaya, wanita, warga emas malah kanak-kanak turut menjadi mangsa.

“Sehingga kini lebih 15,000 rakyat Palestin yang syahid, 37,000 cedera dan 6,500 hilang di bawah runtuhan bangunan,” katanya sewaktu mengemukakan usul berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, setiap pihak perlu menolak idea penyelesaian dua negara (two state solution) berikutan langkah itu tidak mampu menyelesaikan isu yang berlanjutan ini.

Beliau berkata, Israel tidak diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah malah berdasarkan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, pihak berkenaan hanyalah merupakan rejim yang melakukan jenayah dunia.

“Anak-anak lelaki Palestin baru-baru ini ditangkap dan disoal siasat oleh tentera Israel malah lebih 300 buah sekolah turut terjejas serta tidak dapat beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga mencadangkan agar tiada sebarang program hiburan berbentuk nyayian dan tarian melalaikan sewaktu sambutan ambang tahun baharu di Perlis.

Katanya, cadangan itu adalah selepas melihat perkembangan semasa di mana isu berkaitan Palestin ini semakin dipandang sepi oleh banyak pihak.

“Ini menunjukkan kita serius dan terus menyokong bersolidariti kepada rakyat Palestin,” katanya.