Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Rabu

13 Disember 2023

6:54:02 PTG
1420010

Israel mula pam air laut ke dalam terowong Hamas

WASHINGTON: Tentera Israel dilaporkan mula mengepam air laut ke dalam kompleks terowong Hamas di Gaza, lapor Wall Street Journal dan ABC News, semalam yang memetik sumber pegawai Amerika Syarikat (AS).

WSJ melaporkan, proses itu mungkin mengambil masa beberapa minggu, manakala ABC News pula melaporkan situasi terbabit berkemungkinan terhad memandangkan Israel sendiri meragui keberkesanan strategi itu.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberikan komen lanjut mengenai laporan itu, malah jurucakap Kementerian Pertahanan Israel juga tidak menjawab permintaan untuk mengulas.

WSJ melaporkan, beberapa pegawai pentadbiran Joe Biden berkata, proses itu boleh membantu memusnahkan terowong, di mana Israel percaya kumpulan berkenaan menyembunyikan tebusan, pejuang dan peluru, lapor Journal.Malah ia turut memetik pegawai berkata, kebimbangan kini adalah air laut akan membahayakan bekalan air tawar di Gaza. Sebelum ini, Israel dilaporkan memasang sistem pam besar yang mungkin digunakan untuk membanjiri terowong Hamas di Semenanjung Gaza dengan air laut. Sekitar pertengahan November, tentera Israel menyiapkan sekurang-kurangnya lima pam, kita-kira 0.4 kilometer (km) di utara kem pelarian Al-Shati. Difahamkan, ia boleh menyalurkan ribuan meter padu air sejam dan membanjiri keseluruhan rangkaian terowong dalam beberapa minggu, menurut kata laporan itu. Tidak jelas sama ada Israel akan mempertimbangkan untuk menggunakan pam itu sebelum semua tebusan dibebaskan, menurut laporan berkenaan. Hamas sebelum ini berkata ia menyembunyikan tebusan di 'tempat selamat dan terowong'. 

342/