Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Rabu

13 Disember 2023

6:56:12 PTG
1420013

Perancis anjur mesyuarat tangani dana, kegiatan dalam talian Hamas

PARIS: Pegawai dari lebih 20 negara termasuk Israel akan bersidang di Paris, Perancis esok bagi menentukan strategi untuk mengekang pembiayaan Hamas dan aktivitinya dalam talian, menurut tiga diplomat.

Bagaimanapun, persidangan itu tidak disertai oleh negara Arab.

Perancis sebelum ini mendesak Jerman dan Itali supaya Kesatuan Eropah (EU) mewujudkan rejim sekatan khusus terhadap kumpulan Islam Palestin selepas serangan mautnya ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu.

Diplomat Perancis berkata mereka mahu strategi yang lebih luas merangkumi sebanyak mungkin negara, untuk merosakkan keupayaan kumpulan itu membiayai dirinya sendiri dan menyebarkan propaganda di rangkaian media sosial.Persidangan sehari itu akan dimulakan dengan pembentangan oleh Israel mengenai 'ancaman Hamas' sebelum beralih kepada sesi mengekang pembiayaan, menurut agenda yang dilihat oleh Reuters.

Pembentangan akan dibuat oleh Israel, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) yang akan menggariskan sekatan semasa ke atas pejuang Hamas dan sebuah pertubuhan bebas yang memberi tumpuan kepada pembiayaan keganasan.

Palestin menggunakan rangkaian pembiayaan global untuk menyalurkan sokongan daripada badan amal dan negara, menghantar wang tunai melalui terowong Gaza atau menggunakan mata wang kripto untuk memintas sekatan antarabangsa, menurut pakar dan pegawai.

"Agak ganjil bahawa tidak akan ada negara Arab," kata seorang diplomat. Dua lagi diplomat turut mengesahkan ketiadaan negara Arab dan Turkiye.

Hamas, yang didakwa sebagai pertubuhan pengganas oleh EU dan AS sudah menubuhkan rangkaian rahsia syarikat yang menguruskan pelaburan AS$500 juta dalam syarikat dari Turkiye ke Arab Saudi, kata Perbendaharaan AS.

Sementara itu, tentera zionis Israel yang menggempur Gaza sejak tiga bulan lalu cuba untuk menghapuskan pejuang Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan 7 Oktober lalu, dengan sekian lama menuduh pemerintah ulama Iran mencetuskan keganasan dengan membekalkan senjata kepada Hamas.

Tehran berkata pihaknya memberi sokongan moral dan kewangan kepada kumpulan itu. Qatar membayar ratusan juta dolar kepada Gaza yang dikendalikan Hamas sejak 2014, kata pegawai.

Sesi terakhir persidangan esok akan memberi tumpuan kepada memerangi 'kandungan pengganas dalam talian' dan cara menggerakkan alat untuk menentang aktiviti media sosial Hamas.

"Ideanya adalah untuk menggunakan sistem yang bagi pemimpin Hamas. Tetapi terdapat masalah sebenar dalam memutuskan apa itu ucapan kebencian apabila kedua-dua pihak mengeluarkan naratif palsu dan menuduh satu sama lain atas segala-galanya," kata seorang diplomat Eropah- REUTERS



342/