Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ابنا
Selasa

2 Januari 2024

11:00:58 PG
1426005

Johor pertimbang siadakan kediaman pelajar di Jordan

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata permintaan berkenaan telah disampaikan oleh pelajar yang terlibat semasa lawatan beliau ke negara berkenaan baru-baru ini dan perbincangan awal telah pun bermula.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA):  Kerajaan Negeri Johor mempertimbangkan untuk menyediakan kediaman untuk pelajar dari negeri Johor yang kini melanjutkan pengajian di Jordan seperti di Mesir untuk membantu meringankan beban mereka memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata permintaan berkenaan telah disampaikan oleh pelajar yang terlibat semasa lawatan beliau ke negara berkenaan baru-baru ini dan perbincangan awal telah pun bermula.

Beliau berkata sebelum ini, pihak kerajaan negeri menyewa dua bangunan di Mesir yang akan dijadikan sebagai asrama yang akan menempatkan 354 pelajar di bangunan yang telah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM8.4 juta.

Bangunan di Mesir itu akan mula menempatkan pelajar yang mengambil jurusan keagamaan dan perubatan pada bulan ini.

“Secara umumnya, pelajar kita di Mesir dan 250 orang di Jordan dalam keadaan yang baik dan kita akan cuba bantu mereka dari semasa ke semasa,” katanya selepas Majlis Batu Pahat Berselawat di Masjid Jamek Taman Sri Sulong di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas usaha kerajaan negeri ketika lawatan beliau ke kedua-dua negara itu baru-baru ini.

Mohd Fared berkata sebanyak RM88,500 sumbangan diberikan kepada pelajar Malaysia di Mesir dan RM65,500 pula kepada pelajar Malaysia di Jordan secara sekali beri sebagai menghargai, sekali gus menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar Johor agar menjadi insan yang cemerlang.

"Semoga mereka dapat pulang ke negeri ini sebagai murabbi ummah dan ilmuan agama yang terbaik dan dapat berbakti kepada Bangsa Johor," tambahnya.