Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ابنا
Selasa

2 Januari 2024

11:13:53 PG
1426008

Pekarangan perhimpunan tersebut turut dihiasi dengan nyalaan lilin yang membentuk perkataan 'Save Gaza.'

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA): Malam kemuncak piket solidariti untuk Palestin berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak di sini yang diadakan sejak Selasa lepas dihadiri lebih 200 orang termasuk orang kenamaan.

Antara pemimpin-pemimpin yang hadir pada malam penutup piket 'Kepung Demi Palestin' itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan aktivis sosial Tian Chua.

Selain ceramah, pengisian yang diadakan bermula dari 8 malam ialah persembahan muzik dan pameran gegantung mempamerkan sejarah kezaliman Israel tehadap rakyat Palestin.

Pekarangan perhimpunan tersebut turut dihiasi dengan nyalaan lilin yang membentuk perkataan 'Save Gaza.'

Mohamad dalam ucapannya berkata di sebalik kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, beliau yakin sifat kemanusiaan dan perpaduan adalah tonggak utama untuk mencapai keamanan.

"Di Malaysia, walaupun kita semua berbeza kaum dan agama kita mampu hidup dengan aman serta tenteram," katanya.

Nik Nazmi pula berkata usaha kerajaan yang terus menyuarakan hak dan isu penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza telah mendapat perhatian daripada masyarakat dunia.

"Kita nak hantar satu mesej yang jelas bahawa rakyat di seluruh dunia termasuk Malaysia tidak akan berdiam diri selagi hak rakyat Palestin tidak dihormati," katanya.

Peserta dilihat mula bersurai pada pukul 12 tengah malam dengan dikawal oleh pihak polis.

Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin di Gaza pada 7 Okt lepas hingga kini.

Piket melibatkan 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merangkumi organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum, dianjurkan sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza selain menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan manakala gencatan senjata dilaksanakan dengan segera.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (PBK) yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Sejagat, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia serta Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin.