Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ابنا
Khamis

4 Januari 2024

11:29:38 PG
1426637

Dalam kenyataan pada Khamis, pertubuhan OIC menyuarakan solidariti kepada Iran yang berdepan peristiwa tragis itu, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA): Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hussain Taha mengutuk pengeboman yang menyasarkan orang awam di Iran yang menyebabkan ramai orang terbunuh.

Dalam kenyataan pada Khamis, pertubuhan OIC menyuarakan solidariti kepada Iran yang berdepan peristiwa tragis itu, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Sekretariat itu mengucapkan takziah kepada kerajaan Iran, rakyat dan keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang cedera segera pulih.

Dalam pegeboman pada Rabu di bandar Kerman Iran, 84 orang disahkan terbunuh setakat ini manakala 284 yang lain cedera.

Dua letupan itu berlaku ketika upacara memperingati ulang tahun keempat pembunuhan bekas komander tertinggi tentera Iran Qasem Soleimani pada 2020.

Sementara itu, China yang terkejut dengan pengeboman tersebut menyatakan sokongan padunya kepada Tehran, lapor Agensi Anadolu memetik jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin.

“China menentang semua bentuk keganasan, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengganas dan menyokong usaha Iran untuk menjaga keselamatan dan kestabilan negara,” kata Wang kepada, menurut harian Global Times.

Sementara itu, Kementerian Luar Korea Selatan juga pada Khamis turut mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu, lapor Yonhap memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar Lim Soo Suk.

"Kerajaan merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka dan berharap mangsa yang cedera segera pulih," kata Lim kepada wartawan.

Beliau berkata kerajaan Korea Selatan tegas dengan pendiriannya bahawa serangan pengganas tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan.