Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ابنا
Ahad

14 Januari 2024

11:48:13 PG
1429288

Kerajaan Malaysia akan memperkasakan program imarah masjid

Timbalan Menterinya Dr Zulkifli Hasan berkata usaha bagi menjadikan masjid sebagai nadi utama umat Islam itu akan terus dilaksanakan dengan pelbagai jenis pengisian yang bermanfaat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA): Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) akan memperkasakan lagi program pengimarahan masjid dan mengadakan program semarak subuh pada tahun ini.

Timbalan Menterinya Dr Zulkifli Hasan berkata usaha bagi menjadikan masjid sebagai nadi utama umat Islam itu akan terus dilaksanakan dengan pelbagai jenis pengisian yang bermanfaat.

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan dan menyokong sebarang usaha mengimarahkan masjid seperti '#GengSubuhMacamJumaat' yang digerakkan oleh selebriti Alif Satar serta inisiatif kerajaan Johor mengadakan Program Semarak Subuh.

"Di peringkat kementerian, kita sangat menggalakkan dan menyokong gerakan atau usaha untuk kebaikan masyarakat dan kita jua sudah ada perancangan semarak subuh serta pengimarahan masjid," katanya.

"Kita boleh lihat bagaimana seorang selebriti seperti Alif Satar mampu untuk tarik orang ramai solat subuh serta inisiatif Johor, jadi kita alu-alukan sesiapa sahaja yang mampu buat demikian sebab ini antara usaha dakwah dan penting agar ia berkesinambungan," katanya kepada pemberita setelah menyerahkan sumbangan mangsa banjir di Kampung Sungai Tiram.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas mengenai sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengadakan program solat subuh dan pengimarahan masjid yang telah mencetuskan fenomena baru-baru ini.