Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : alquds.co.uk
Sabtu

30 Ogos 2014

3:40:02 PG
634390

Dar al-Ifta' Mesir haram perkataan 'Negara Islam' bagi ISIS

Majlis fatwa Mesir mengharamkan penggunaan perkataan 'Negara Islam' untuk kumpulan ISIS, dan meminta ia ditukar kepada 'Negara Pemberontak'.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Dar al-Ifta Mesir mengharamkan pemakaian nama "Kerajaan Islam" ke atas kumpulan ISIS (Negara Islam Syria dan Iraq) dan menyeru orang ramai agar menukarkan namanya kepada Daulah al-Munshiqin 'An al-Qaeda Fi al-Iraq Wa al-Sham (Kerajaan pemberontak al-Qaeda di Iraq dan Sham)

Keputusan Dar al-Ifta' tersebut muncul sehari setelah presiden Abdel Fattah al-Sisi menyuarakan kebimbangan terhadap kemaraan kumpulan pengganas tersebut ke Mesir. Kata beliau kepada wartawan dalam sebuah sidang media, "Selagi rakyat masih berdiri di belakang tentera, maka kami bersedia untuk bertempur tanpa had."

Penasihat mufti, Ibrahim Najm turut memaklumkan kempen antarabangsa anti-ISIS sambil menegaskan bahawa pihaknya akan berinteraksi dengan media asing dan penduduk Barat agar tidak menggunakan perkataan 'Negara Islam' ketika berbicara tentang kumpulan ISIS dan sebagai ganti, nama tersebut hendaklah diistilahkan sebagai 'Kerajaan Pemberontak al-Qaeda di Iraq dan Sham'.

Tambah Najm, kempen tersebut melibatkan laman sosial Facebook termasuk Twitter dan lain-lain lagi dalam bahasa Inggeris sebagai jawapan terhadap putar belit ISIS seterusnya menukilkan pandangan para pemimpin serta ulama Islam dari berbagai negara di seluruh dunia mengenai pengganas.

Kempen tersebut menjelaskan, tujuan utamanya adalah membetulkan imej Islam yang tercalar di Barat akibat jenayah tersebut dan mengutuk perbuatan tidak berperi kemanusiaan pengganas yang bertentangan dengan pemikiran waras. Selain itu kempen juga berusaha menegaskan bahawa seluruh umat Islam menolak perbuatan sedangkan prinsip dan ajaran Islam menyeru kepada toleransi kehidupan dan menjaga jiwa raga, maruah, harta benda, akal dan agama.

Penasihat mufti ini menekankan umat Islam di setiap negara perlu menyatakan kecaman terhadap perbuatan pengganas dengan cara dan kemampuan masing-masing samada melalui merekod klip video dalam beberapa minit terutamanya dalam bahasa Inggeris atau mengambil gambar yang menunjukkan sikap protes terhadap ISIS dalam rangka menunjukkan wajah Islam sebenar kepada penduduk Barat.