Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24.com
Sabtu

23 April 2016

4:42:47 PTG
749393

Universiti al-Azhar ikut fikah Syiah dalam isu perceraian

Universiti al-Azhar akan mengikuti fikah Syiah dalam isu perceraian, lapor media Mesir.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Isu perceraian menjadi perdebatan hangat secara meluas di kalangan cendiakawan fikah dan masyarakat Mesir apabila pendapat popular menegaskan lafaz cerai menjadi realiti selama pihak suami mengungkapkannya dengan sahih tanpa kehadiran saksi.

Pendapat ini menimbulkan banyak masalah setelah rangkaikata cerai dilafazkan oleh si suami dalam keadaan marah ketika tercetus pertengkaran sengit dengan isteri. Suami hanya melafazkan "aku ceraikan engkau" maka jatuhlah talak yang menceraikan pasangan terbabit meskipun tanpa saksi.

Akibatnya banyak kes-kes perceraian ketika suami marah itu telah dirujuk kepada jawatankuasa fatwa dan ulama. Dalam masa yang sama terdapat aktivis yang menuntut agar perceraian dilakukan dalam bentuk dokumen. Golongan ini menegaskan kes-kes perceraian seperti ini merupakan bukti yang jelas betapa perlunya pensijilan dan kesaksian seperti mana proses pernikahan.

Selain itu sebilangan ulama fikah Ahlisunnah memaklumkan penolakan mereka terhadap kesahihan talak secara lafaz dengan dakwaan bahawa wacana ini perlu bersandar pada al-Qur'an dan Sunnah, sedangkan tidak ada bukti pernikahan dan perceraian dilakukan secara akad pada zaman dahulu, begitu juga pada zaman dahulu juga tidak wujud mahkamah Syariah. Namun perkara ini berubah mengikut peredaran zaman, perubahan tempat dan keadaan masyarakat.

Isu ini menyebabkan sebahagian ahli fikah Mesir mengambil inisiatif untuk menuruti jejak langkah mazhab Syiah yang menjatuhkan talak dengan syarat adanya saksi dan dokumentasi.

Semalam Cairo Portal melaporkan Jawatankuasa Ulama Besar al-Azhar yang dipimpin oleh Dr. Ahmad Tayyib akan membentuk sebuah suruhanjaya ilmiah yang dianggotai ulama elit mazhab empat Sunni bagi menamatkan kontroversi ini demi menjaga hak isteri.

Meskipun demikian, ada di kalangan Muslim yang berpendapat surah al-Talaq di dalam Al-Qur'an telah menegaskan perceraian perlu menghadirkan saksi.