Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Presstv
Isnin

14 November 2016

3:05:37 PTG
791917

10 Terbunuh Apabila Pihak Berkuasa Nigeria Lepaskan Tembakan Ke Arah Peserta Perarakan Arbain.

Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh dan beberapa yang lain pula mengalami kecederaan apabila pihak berkuasa Nigeria melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penganut mazhab Syiah yang sedang berkumpul dalam rangka menyambut hari peringatan Arbain.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh dan beberapa yang lain pula mengalami kecederaan apabila pihak berkuasa Nigeria melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penganut mazhab Syiah yang sedang berkumpul dalam rangka menyambut hari peringatan Arbain. Arbain menandakan hari yang ke-40 selepas kesyahidan Imam ke-3 mazhab Syiah, Hussein Bin Ali Bin Abi Talib.

Keganasan tercetus apabila polis cuba untuk menyuraikan ribuan pengikut Gerakan Islam Nigeria (IMN) yang sedang berarak dari Kano ke Kaduna dalam rangka memperingati Arbain.

"Apabila pihak polis tiba, mereka terus menembak gas pemedih mata ke arah perkumpulan Syiah tersebut dalam usaha menyuraikan mereka," kata seorang saksi kepada AFP. "Saya lihat 15 jenazah terkujur di atas tanah sebelum pihak polis membawanya ke tempat lain," tambah saksi itu.

Saksi yang lain pula mengatakan bahawa dia melihat pihak polis membawa 10 mayat keluar dari tempat kejadian dengan menggunakan van polis. "Lebih banyak anggota polis ditugaskan dan jet tentera juga mengelilingi tempat kejadian," kata saksi itu.

Pihak IMN pada Ahad lepas mengatakan bahawa pihak tentera Nigeria sedang merancang untuk menghalang para pengikutnya daripada menyertai protes tersebut.

Menurut laporan, para anggota tentera menutup jalan dan melepaskan tembakan dengan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah ratusan rakyat awam termasuk wanita dan kanak-kanak. Mereka dilaporkan sedang berarak di bahagian utara bandar Kano pada hari Ahad.

Para pengikut IMN berada di bawah tekanan pihak berkuasa Nigeria sejak tahun lalu apabila tentera negara itu menyerang sebuah majlis agama yang berlangsung Zaria.