Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

18 Januari 2017

6:40:37 PTG
805778

Presiden Gambia Isytihar Darurat

Presiden Gambia, Yahya Jammeh telah mengisytiharkan undang-undang darurat untuk tempoh 90 hari di negaranya dengan memberi alasan campur tangan kuasa asing di dalam pilihan raya presiden negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Gambia, Yahya Jammeh telah mengisytiharkan undang-undang darurat untuk tempoh 90 hari di negaranya dengan memberi alasan campur tangan kuasa asing di dalam pilihan raya presiden negara itu.

Penyandang jawatan Presiden Gambia itu membuat pengumuman tersebut di dalam siaran televisyen kebangsaan pada hari Selasa.

"Saya... dengan ini mengisytiharkan darurat di seluruh Republik Islam Gambia," umumnya.

Beberapa negara serantau sedang cuba untuk meyakinkan Presiden Jammeh untuk menyerahkan kuasa secara aman kepada ketua pembangkang, Adam Barrow yang sebelum ini diisytiharkan pemenang di dalam pilihan raya presiden 2016.

Barrow sepatutnya mengangkat sumpah untuk memegang jawatan presiden pada hari Khamis. Akan tetapi, pengumuman darurat yang dibuat Jammeh, membolehkan pentadbirannya untuk membatal atau menunda pengangkatan sumpah itu.

Sebelum itu, sebuah sumber daripada Tentera Nigeria berkata pada hari Selasa bahawa Pertubuhan Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Utara (ECOWAS) boleh melancarkan campur tangan ketenteraan di negara tersebut jikalau Jammeh tidak meletakkan jawatannya setelah mandat 5 tahunnya tamat pada 18 Januari ini.

Kemungkinan campur tangan ketenteraan itu mendapat momentum apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Afrika menyeru Jammeh untuk menerima keputusan pilihan raya tersebut sekaligus mengakhiri pemerintahan 22 tahunnya.

Jammeh sebelum ini menerima keputusan itu. Akan tetapi mengubah keputusannya dan mengadu kepada Mahkamah Tinggi negara itu berkaitan dakwaannya bahawa terdapat penipuan di dalam pilihan raya itu.

Keputusan Jammeh itu telah menyebabkan negara Afrika itu tenggelam di dalam krisis yang menyebabkan ramai warga negara Gambia memilih untuk meninggalkan negara tersebut.