Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

18 Januari 2017

7:22:49 PTG
805791

Mesir Senaraikan Pemain Bola Sepak Legenda Negara Itu Sebagai Pengganas

Pihak berkuasa Mesir telah memasukkan nama bekas pemain bola legenda negara itu, Aboutrika di dalam senarai nama para pengganas.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak berkuasa Mesir telah memasukkan nama bekas pemain bola sepak legenda negara itu, Mohamed Aboutrika di dalam senarai nama para pengganas.

Mohammed Aboutrika yang juga merupakan pemenang 4 kali anugerah pemain bola terbaik Afrika telah disenaraikan sebagai pengganas pada hari Rabu ini. Perkara itu dinyatakan oleh para pegawai mahkamah negara tersebut.

Aboutrika yang merupakan salah seorang daripada atlit terbaik Mesir sepanjang zaman dituduh mempunyai hubungan dengan pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Pertubuhan politik yang terbesar di negara Mesir kini diharamkan di negara Afrika Utara itu. Puluhan ribu orang telah dipenjara setakat ini berikutan tuduhan yang sama dan mahkamah biasanya menjatuhkan hukuman yang berat ke atas mereka.

Senarai itu kini mengandungi 1500 nama termasuk beberapa figur kanan parti tersebut. Di antara mereka adalah bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang diturunkan daripada tampuk kekuasaan melalui sebuah rampasan kuasa tentera pada tahun 2013.

Mereka yang disenaraikan sebagai pengganas akan dilarang untuk meninggalkan negara. Selain daripada itu, aset mereka juga akan dibekukan.

Aboutrika pernah menyokong usaha Morsi untuk menjadi Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik. Pemain bola yang sudah bersara itu kini berusia 38 tahun. Beliau setakat ini telah menafikan tuduhan yang mendakwanya memberikan dana kepada pertubuhan Ikhwanul Muslimin.