Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

22 Januari 2017

6:14:07 PTG
806609

Bekas Presiden Gambia, Yahya Jammeh Tinggalkan Negara Menuju Ke Guinea

Yahya Jammeh, bekas Presiden Gambia telah bersetuju melepaskan jawatan dan meninggalkan negara itu selepas menghadapi tekanan dari dalam dan luar negara yang mahukan dia berundur berikutan kekalahannya di dalam pilihan raya presiden pada Disember 2016.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Yahya Jammeh, bekas Presiden Gambia telah bersetuju melepaskan jawatan dan meninggalkan negara itu selepas menghadapi tekanan dari dalam dan luar negara yang mahukan dia berundur berikutan kekalahannya di dalam pilihan raya presiden pada Disember 2016.

Menurut laporan, dia telahpun menaiki pesawat untuk berangkat ke negara Guinea. Menurut perjanjian, dia akan menjalani kehidupannya selepas ini di Guinea.

Jammeh yang memerintah Gambia selama 22 tahun tewas kepada Adama Barrow pada pilihan raya presiden tahun 2016. Adama Barrow sebelum ini telah mengangkat sumpah sebagai presiden negara itu di kedutaan Gambia yang terletak di Senegal. Berita Jammeh meninggalkan negara menyebabkan Barrow mengambil keputusan untuk pulang ke Gambia secepat mungkin.

Sebelum ini, beberapa negara Afrika Barat telah menghantar tentera mereka ke Gambia untuk memaksa Jammeh meletakkan jawatan. Jammeh sebelum ini menerima kekalahannya. Akan tetapi, dia kemudiannya mengubah pendiriannya dan mendakwa bahawa terdapat penipuan berlaku di dalam proses pilihan raya tersebut. Pada suatu ketika, dia juga mengisytiharkan undang-undang darurat di negara Afrika itu untuk membolehkannya terus berkuasa di Gambia.

Keputusan Jammeh untuk melepaskan jawatan dan meninggalkan negaranya berjaya meredakan krisis politik yang memaksa sebahagian rakyat Gambia meninggalkan negara mereka dan memasuki sempadan Senegal.