Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Selasa

21 Februari 2017

6:48:44 PTG
813251

7 Maut Serangan Bom Di Pakistan

Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di kawasan luar sebuah bangunan mahkamah di utara Pakistan hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di kawasan luar sebuah bangunan mahkamah di utara Pakistan hari ini.

Kejadian di Bandar Charsadda dekat sini itu merupakan siri serangan terbaharu selepas serangan sama mengorbankan berpuluh-puluh nyawa di sebuah makam ahli sufi yang penuh sesak di selatan Pakistan pada ming­gu lalu.

Menurut polis, dalam serangan di sekitar kawasan mahkamah itu, mereka yang terbunuh termasuk tiga pengebom bunuh diri manakala beberapa yang lain cedera de­ngan kumpulan Taliban, Jamaat-ur-Ahrar mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan.

Jurucakap kumpulan itu, Asad Mansor menghantar mesej kepada media memberitahu mengaku pihaknya bertanggungjawab dan pertempuran masih berterusan dalam bangunan tersebut.

Pihak pentadbir wilayah memaklumkan mengenai kejadian itu namun seorang saksi memberitahu Reuters, dia melihat banyak mayat bergelimpangan di tempat kejadian.

Pengebom berani mati berkenaan dikatakan melontar bom tangan dan melepaskan tembakan semasa cuba memasuki bangunan mahkamah tersebut.

Seorang daripada mereka meletupkan diri manakala yang lain maut namun terdapat laporan yang menyebut, seorang pengebom masih hidup dan berada dalam bangunan itu.

Seorang peguam antara mangsa yang maut. – REUTERS