Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Rabu

15 Mac 2017

8:20:38 PTG
818028

Mubarak Akhirnya Bebas

Pendakwa raya, kelmarin membenarkan pembebasan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas Mahkamah Rayuan menggugurkan tuduhan ke atas beliau yang sebelum ini didakwa terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan revolusi rakyat pada 2011.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pendakwa raya, kelmarin membenarkan pembebasan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas Mahkamah Rayuan menggugurkan tuduhan ke atas beliau yang sebelum ini didakwa terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan revolusi rakyat pada 2011.

"Beliau kini boleh pulang ke rumah, namun dilarang meninggalkan Kaherah kerana siasatan kes rasuah yang melibatkannya masih berlangsung," kata peguamnya, Farid al-Deeb.

Sebelum ini, Mubarak, 88, menghabiskan tempoh tahannya di hospital tentera di ibu negara sejak beliau diberkas pada 2011 selepas dituduh menghasut hingga membawa kepada kematian lebih 800 penunjuk perasaan dalam insiden pertempuran dengan pihak berkuasa.

Pada 2012, pemimpin terbabit dihukum penjara seumur hidup, namun Mahkamah Rayuan mengarahkan perbicaraan semula dan tuduhan tersebut digugurkan dua tahun kemudian. Pada Januari 2016, mahkamah mengekalkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Mubarak dan dua anak lelakinya atas tuduhan rasuah.

Sejak insiden penggulingan beliau kira-kira enam tahun lalu, kebanyakan tuduhan ke atas anggota rejim Mubarak telah digugurkan walaupun negara itu masih dalam proses pemulihan selepas Arab Spring.

"Mubarak dan simbol era pemerintahannya telah diterima kembali di media dan dalam masyarakat. Beliau berada dalam situasi lebih baik berbanding rakan sejawatannya yang lain yang turut berdepan gelombang kebangkitan revolusi rakyat di Timur Tengah," kata prof politik di Universiti Kaherah, Mai Mogib.

Penggulingan bekas ketua tentera udara itu turut membawa kepada pemilihan bebas yang menyaksikan pelantikan Mohammed Mursi sebagai penggantinya yang dipilih secara demokrasi. - Arab News