Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

28 April 2017

5:55:32 PTG
826576

Presiden Tanzania Pecat 10,000 Penjawat Awam Kerana Sijil Akademi Palsu

Presiden Tanzania, John Magufuli pada hari Jumaat memecat sekitar 10,000 penjawat awam di negara itu berikutan dakwaan yang mengatakan mereka telah memalsukan sijil akademi untuk memperolehi jawatan mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Tanzania, John Magufuli pada hari Jumaat memecat sekitar 10,000 penjawat awam di negara itu berikutan dakwaan yang mengatakan mereka telah memalsukan sijil akademi untuk memperolehi jawatan mereka.

Para penjawat awam itu telah diberikan pilihan untuk mengosongkan jawatan mereka dalam tempoh 15 hari atau bersedia untuk menghadapi risiko dipenjarakan selama 7 tahun.

Ketika bercakap di ibu kota Tanzania, Dodoma, Magufuli menyifatkan 9,932 orang penjawat awam itu sebagai "perompak dan pencuri" serta mengarahkan mereka untuk "segera menghilangkan diri dari tempat kerja mereka."

"Kesemua 9,932 penjawat awam yang diterima kerja sebelum ini berdasarkan diploma palsu tidak akan menerima gaji mereka untuk bulan April dan mereka harus meninggalkan kedudukan mereka secepat mungkin," kata Magafuli.

Beliau menambah dengan mengatakan bahawa posisi mereka akan diisi oleh mereka yang berkelayakan secepat mungkin. Magafuli turut mengarahkan media tempatan untuk menyiarkan nama mereka yang dipecat.

Para penjawat awam Tanzania itu sebelum ini telah berhadapan dengan proses penilaian bebas yang dilancarkan untuk mengenal pasti kesahihan sijil akademik mereka.

Penilaian itu dibuat selepas pentadbiran Magafuli memberkas 'pekerja hantu' yang wujud di dalam senarai penerima gaji kerajaan.

Sejak memenangi pilihan raya pada tahun 2015, Magafuli telah memperkukuhkan reputasinya dalam membenteras korupsi. Ramai melihat bahawa kebanyakan keputusannya diambil untuk memperbaiki sektor awam.

/315