Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

30 April 2017

4:01:38 PTG
826972

Umat Islam Perlu Berhati-Hati Terhadap Kebudayaan Para Thagut Dan Penzalim: Ulama Iran

Ayatullah al-Uzhma Hussein Noori Hamedani berkata bahawa umat Islam perlu berhati-hati dengan kebudayaan para thagut dan para penzalim.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ayatullah al-Uzhma Hussein Noori Hamedani berkata bahawa umat Islam perlu berhati-hati dengan kebudayaan para thagut dan para penzalim.

Beliau membuat kenyataan itu di dalam sebuah pertemuan dengan para pemimpin angkatan tentera Iran di Qom.

Ulama kanan itu dengan merujuk kepada hadis; کُلُّ یَوْمٍ عَاشُورَا و کُلُّ أَرْضٍ کَرْبَلاء (terjemah: Setiap hari, hari Asyura dan setiap tanah, tanah Karbala) mengatakan bahawa mafhum hadis itu tidak terikat kepada sesebuah zaman yang tertentu sahaja dan Yazid (pemimpin Umayyah yang mengarahkan pembunuhan Imam Hussein, cucundanya Nabi S.A.W.W) juga mempunyai 'penjelmaan yang berbeza' pada setiap zaman. Oleh kerana itu, menurut beliau, umat Islam perlu berwaspada terhadap kebudayaan thagut dan para penzalim (seperti Yazid).

Beliau turut menghidupkan kenangan terhadap Imam Khomeini yang menurutnya telah berjaya melaksanakan hukum-ahkam Islam dan dalam masa yang sama menghalau keluar musuh agama dari negara Iran.

Beliau turut memuji Imam Khomeini dengan mengatakan bahawa beliau telah berjaya mengalahkan musuh Islam dengan perjuangannya yang disokong penuh oleh warga Iran pada waktu itu. Menurutnya, almarhum telah memperkenalkan Islam kepada rakyat jelata dengan mengajar mereka bahawa agama itu mempunyai pelbagai rukun yang salah satu daripadanya adalah mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan.

Menurut beliau, Allah telah menciptakan manusia dan setelah itu mengutuskan sekitar 124,000 orang nabi dan rasul dalam rangka memberikan hidayah kepada kafilah manusia. Para anbiya' menurutnya datang kepada kita untuk membawa manusia ke arah kesempurnaan melalui undang-undang ilahi.

Beliau di dalam kesempatan yang sama turut menekankan perihal pentingnya warga Iran secara beramai-ramai untuk turun ke pusat-pusat pengundian untuk menyatakan sokongan mereka kepada revolusi Islam dan juga negara tersebut. Iran pada 19 Mei ini akan mengadakan pilihanraya presiden untuk memilih presiden yang baharu di negara itu.

Ramai pemerhati mengatakan bahawa sokongan warga Iran kepada sistem pilihanraya di negara itu adalah sangat penting di dalam memastikan bahawa sistem pemerintahan yang wujud di sana masih lagi mendapat tempat di hati rakyat jelata. Perkara ini menurut mereka akan menyebabkan negara-negara yang memusuhi Iran lebih berhati-hati di dalam melakukan perencanaan mereka ke atas negara Islam itu.


/315