Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Isnin

15 Mei 2017

4:00:33 PTG
829965

Penderma Terbesar Parti Republikan Berang Dengan Komen Tillerson

Pembiaya -penderma- terbesar parti Republikan yang juga merupakan seorang penyokong kuat rejim Israel, Sheldon Adelson dilaporkan marah dengan Setiausaha Jabatan Negara Amerika Syarikat berikutan komen beliau yang menunjukkan bahawa pentadbiran Trump sedang cuba menarik balik janji kempen pilihan raya mereka untuk memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Jerusalem al-Quds.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pembiaya -penderma- terbesar parti Republikan yang juga merupakan seorang penyokong kuat rejim Israel, Sheldon Adelson dilaporkan marah dengan Setiausaha Jabatan Negara Amerika Syarikat berikutan komen beliau yang menunjukkan bahawa pentadbiran Trump sedang cuba menarik balik janji kempen pilihan raya mereka untuk memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Jerusalem al-Quds.

Sumber memberitahu laman berita Axios bahawa Adelson tidak senang dengan kenyataan Tillerson yang dibuat pada hari Ahad. Tillerson di dalam ucapan itu berkata bahawa Presiden Trump sangat berhati-hati ketika mempertimbangkan janjinya untuk memindahkan kedutaan A.S ke al-Quds.

Trump sepanjang kempen pilihan raya tahun 2016 telah berikrar untuk memindahkan kedutaan A.S sejurus selepas memulakan tugas di Rumah Putih. Akan tetapi, kenyataan terbaru Tillerson menyebabkan beberapa pihak termasuk rejim Israel sendiri kecewa dengan rentak yang ditunjukkan oleh pentadbiran Trump.

Trump pada tahun lepas mengumumkan bahawa A.S akan memindahkan kedutaannya ke Jerusalem al-Quds ketika berucap di perjumpaan lobi pro-Israel (AIPAC).

Sejak dari hari itu, Adelson dilaporkan memerhatikan tindak-tanduk Trump berhubung perkara tersebut.

Adelson adalah pengarah eksekutif kumpulan kasino Las Vegas Sands yang merupakan syarikat perjudian terbesar di A.S. Dia disenaraikan oleh Forbes pada tahun 2016 sebagai memiliki kekayaan berjumlah USD 33.2 bilion sekaligus menjadikannya lelaki ke-12 terkaya dunia. -ABNA24

/315