Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Sabtu

8 Julai 2017

7:33:41 PG
841077

Mahkamah Nigeria Tolak Tuntutan Saman Zakzaky

Mahkamah Nigeria telah menolak tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Sheikh Ibrahim Zakzaky, ketua Gerakan Islam di Nigeria (IMN) yang dipenjara, terhadap tentera negara Afrika tersebut di atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Mahkamah Nigeria telah menolak tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Sheikh Ibrahim Zakzaky, ketua Gerakan Islam di Nigeria (IMN) yang dipenjara, terhadap tentera negara Afrika tersebut di atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan itu.

Mahkamah Tinggi Persekutuan di negeri utara Nigeria, Kaduna pada hari Jumaat menolak saman oleh ulama terkemuka negara itu, yang cuba mendapatkan ganti rugi sebanyak USD 5.6 juta ke atas serangan tahun 2015 yang dilancarkan oleh pasukan tentera. Serangan itu menyebabkan sekitar 350 orang pengikut ulama itu terbunuh di Bandar Zaria Utara. Antara yang terbunuh adalah tiga orang anaknya.

Zakzaky sendiri dicederakan dengan teruk dan rumahnya dilaporkan telah dimusnahkan oleh tentera Nigeria di dalam serangan itu. Beliau kini ditahan oleh pihak tentera sejak daripada hari serangan itu.

Seorang Hakim berkata bahawa tuntutan itu ditolak kerana terdapat unsur "penyalahgunaan proses mahkamah" memandangkan kes itu telah ditentukan sebelumnya oleh mahkamah lain di ibu negara, Abuja.

Walau bagaimanapun, peguam Zakzaky, Haruna Magashi mendakwa bahawa kedua-dua kes itu secara asasnya berbeza di antara satu sama lain.

"Kes yang dibentangkan di hadapan mahkamah tinggi persekutuan Abuja terkait dengan penahanan haram tanpa sebarang perbicaraan ke atas anak guaman saya oleh DSS (Jabatan Perkhidmatan Negeri)," katanya.

"Kes yang ini pula berkaitan dengan penguatkuasaan hak asasi manusia yang menurut undang-undang hanya boleh difailkan di mahkamah di mana bidang kuasanya merangkumi kawasan di mana jenayah itu dilakukan."-ABNA24

/315