Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

13 Oktober 2017

6:17:57 PG
860050

Trump Bakal Beri Ucapan Penting Berhubung Perjanjian Nuklear Iran

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat akan melakarkan strategi konfrontasi terhadap Iran pada hari Jumaat di dalam sebuah ucapan yang mana beliau dijangkakan akan memberikan sebuah tamparan hebat kepada perjanjian nuklear Iran yang turut ditandantangi Washington sebelum ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat akan melakarkan strategi konfrontasi terhadap Iran pada hari Jumaat di dalam sebuah ucapan yang mana beliau dijangkakan akan memberikan sebuah tamparan hebat kepada perjanjian nuklear Iran yang turut ditandantangi Washington sebelum ini.

Para pegawai A.S berkata bahawa Trump dijangka akan mengumumkan bahawa beliau tidak akan mengesahkan perjanjian nuklear Iran yang sebelum ini ditandatangani oleh pentadbiran Presiden Barrack Obama. Trump sebelum ini berkata bahawa beliau percaya bahawa perjanjian itu tidak menguntungkan A.S. Beliau sebelum ini pernah mengesahkan perjanjian itu sebanyak 2 kali. Akan tetapi, hartawan itu dilihat keberatan untuk melakukannya buat kali yang ketiga.

Pihak penyiasat antarabangsa berkata bahawa Iran secara teknikalnya bertindak selari dengan usul perjanjian tersebut. Akan tetapi, Washington kerapkali menuduh Iran mencabuli apa yang dipanggil sebagai semangat perjanjian yang dikenali sebagai JCPOA itu. Tindakan itu sendiri ditafsirkan Tehran sebagai sebuah provokasi untuk melemahkan perjanjian tersebut sekaligus boleh dikategorikan sebagai sebuah pencabulan ke atas semangat JCPOA.

Sementara itu, sekutu A.S dari Eropah memberikan pandangan yang berbeza dengan Trump berhubung perjanjian nuklear tersebut. Sebelum ini, Perdana Menteri Theresa May dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa A.S untuk mengesahkan perjanjian itu demi memelihara perpaduan di antara mereka.

"Adalah penting bahawa Eropah bersatu berhubung isu ini," kata Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel kepada media. "Kita juga perlu memaklumkan pihak Amerika Syarikat bahawa sikap mereka berhubung isu Iran akan menolak kami ke posisi yang sama dengan Rusia dan China yang menentang pendirian A.S," tambahnya.

Perjanjian yang ditandatangani oleh A.S, Britain, Perancis, Jerman, Rusia, China dan Kesatuan Eropah dengan Iran menyaksikan bahawa Tehran bersetuju untuk menghadkan program nuklearnya. Sebagai ganti, A.S dan sekutunya bersetuju untuk menamatkan sebarang sekatan yang sebelum ini diperkenalkan untuk menghadkan program nuklear tersebut.

Akan tetapi, A.S cuba menggugah perjanjian itu dengan membangkitkan isu yang tidak berkaitan dengan JCPOA untuk mengubah pandangan umum berhubung komitmen Iran terhadap JCPOA. Antara isu yang dibawakan oleh mereka ialah tuduhan bahawa Tehran sedang mengembangkan hegemoni mereka di Timur Tengah.

Walaupun perjanjian itu telah menghasilkan sebuah resolusi Majlis Keselamatan PBB dan disifatkan oleh Rusia sebagai sebuah kemajuan di dalam sejarah kemanusia, Trump memanggil perjanjian itu sebagai sesuatu yang "memalukan" dan sebuah "kesepakatan yang terburuk."

Pihak Eropah dan Iran juga sebelum ini telah menolak sebarang proses perundingan semula untuk mengubah isi kandungan perjanjian itu di sebalik percubaan Washington untuk melakukan perkara itu. Sesetengah pihak melihat percubaan itu sebagai sebuah usaha Washington menghilangkan kekangan terhadap mereka akibat daripada usul perjanjian tersebut dalam meneruskan pendekatan konfrontasi mereka ke atas Tehran.

A.S selama ini mengecam program peluru berpandu Iran yang menurut Tehran bersifat defensif. Wahington juga ingin mengekang kegiatan Iran di rantau ini yang kelihatan semakin berhasil selepas kejayaan tentera Syria dan Iraq di dalam operasi anti-keganasan mereka. Iran membantu kerajaan Damsyik selepas mendapat permintaan rasmi mereka di dalam krisis keganasan antarabangsa yang melanda negara Arab itu. A-ABNA24

/315