Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Sabtu

14 Oktober 2017

5:06:56 PG
860221

Trump Tidak Punya Kuasa Untuk Batalkan Perjanjian Antarabangsa: EU

Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Federica Mogherini berkata bahawa Presiden A.S tidak berkuasa untuk membatalkan perjanjian nuklear Iran yang turut ditandatangani oleh kuasa besar lain termasuk negara-negara Eropah, Rusia dan China.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Federica Mogherini berkata bahawa Presiden A.S tidak berkuasa untuk membatalkan perjanjian nuklear Iran yang turut ditandatangani oleh kuasa besar lain termasuk negara-negara Eropah, Rusia dan China.

Beberapa ketika selepas Presiden Donald Trump mengumumkan secara rasmi bahawa beliau tidak akan lagi mengesahkan perjanjian nuklear tersebut yang turut dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), Mogherini menegaskan bahawa perjanjian tahun 2015 yang disepakati di antara Iran dengan U.K, Perancis, Jerman, Rusia, China dan A.S "tidak dimiliki oleh sesebuah negara semata-mata."

"Setahu saya, tiada sebuah negarapun yang boleh membatalkan mana-mana resolusi Majlis keselamatan PBB yang telah dipersetujui dengan sokongan penuh negara anggota (Majlis Keselamatan), diimplementasi serta disahkan," kata beliau.

"Jelas bahawa kuasa membatalkan perjanjian seperti ini tidak terletak di tangan mana-mana presiden di dunia ini. Presiden A.S memiliki banyak kuasa tetapi tidak di sini," kata beliau.

Mogherini menegaskan komitmen Eropah untuk mematuhi JCPOA dan menggesa pihak lain untuk turut mengambil pendirian yang sama.

"Kita sebagai masyarakat antarabangsa -Eropah lebih-lebih lagi- tidak boleh membatalkan perjanjian antarabangsa yang berfungsi dan memberikan hasil," tambah beliau lagi.

Trump turut mengugut untuk membatalkan perjanjian bersejarah itu selepas mengatakan bahawa beliau tidak akan lagi mengesahkannya.

Menurut proses dalaman undang-undang A.S, Rumah Putih bertanggungjawab untuk mengesahkan komitmen Iran terhadap perjanjian itu setiap 90 hari. Setelah disahkan, perkara itu akan dibawa ke Kongres A.S untuk diperbincangkan. Kongres kemudiannya akan mengambil keputusan untuk mengembalikan sekatan ke atas Iran atau tidak.

Presiden Trump telah mengesahkannya sebanyak dua kali dokumen berkaitan dan enggan untuk melakukannya buat kali yang ketiga. Perkara ini kemudiannya akan dibawa ke Kongres sebelum tindakan lanjut dibuat.

Walaupun Trump tidak mengumumkan penarikan diri negaranya daripada JCPOA, beliau memberikan masa kepada Kongres A.S selama 60 hari untuk mengambil tindakan lanjutan. Pengembalian sekatan berkaitan program nuklear Iran akan meletakkan Washington di posisi bertentangan dengan sekutu tradisinya khususnya di Eropah.  -ABNA24

/315