Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Selasa

17 Oktober 2017

4:20:26 PG
860799

Eropah Komited Terhadap JCPOA

Para menteri luar negara-negara Kesatuan Eropah mengesahkan sokongan mereka terhadap perjanjian nuklear Iran yang ditandatangani oleh Tehran dan kumpulan P5+1 sambil berkata bahawa kesepakatan itu berfungsi dengan baik dan merupakan elemen yang penting di dalam usaha pengawalan senjata nuklear.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Para menteri luar negara-negara Kesatuan Eropah mengesahkan sokongan mereka terhadap perjanjian nuklear Iran yang ditandatangani oleh Tehran dan kumpulan P5+1 sambil berkata bahawa kesepakatan itu berfungsi dengan baik dan merupakan elemen yang penting di dalam usaha pengawalan senjata nuklear.

Menurut Press TV, para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) telah bertemu di dalam sebuah mesyuarat tertutup yang dipengerusikan oleh ketua polisi luar EU, Federica Mogherini di Luxembourg pada hari Isnin. Mesyuarat yang membincangkan isu perjanjian nuklear itu dianjurkan beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump enggan mengesahkan dokumen berkaitan kepatuhan Tehran terhadap perjanjian nuklear Iran. Trump yang memilih posisi bertentangan dengan sekutu tradisi Washington apabila mengambil keputusan itu turut mengancam untuk membatalkan perjanjian nuklear Iran itu secara mutlak.

Walaupun Trump setakat ini tidak mengeluarkan Washington daripada perjanjian nuklear itu, beliau memberi masa kepada Kongres supaya memilih sama ada untuk memperkenalkan semula sekatan berkaitan dengan program nuklear Iran yang sebelum ini ditamatkan di bawah perjanjian itu ataupun untuk meneruskan rejim kesepakatan yang juga dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Jikalau Kongres yang memiliki tempoh 60 hari selepas pengumuman Trump memilih untuk memperkenalkan semula sekatan itu, Washington akan berada di dalam kedudukan yang bertentangan dengan sekutu tradisi mereka yang berada di Eropah.

Jemaah menteri negara Eropah itu turut menggesa para penggubal undang-undang A.S untuk tidak memperkenalkan semula sekatan itu kerana khuatir tindakan itu akan memberikan kesan negatif kepada kestabilan rantau Timur Tengah.

"Sebagai warga Eropah, kami khuatir bahawa keputusan Presiden A.S akan membawa kami semua ke arah medan konfrontasi dengan Iran," kata Menteri Luar Jerman.

Selepas perjumpaan itu, jemaah menteri luar Eropah itu mengeluarkan kenyataan yanng menegaskan keazaman mereka untuk mengimplementasikan perjanjian nukear (JCPOA) itu secara mutlak.

"EU komited untuk meneruskan implementasi penuh dan efektif bagi setiap bahagian JCPOA," baca kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menambah bahawa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sudah lapan kali mengesahkan bahawa kepatuhan penuh Iran terhadap komitmen mereka di bawah JCPOA. Trump sendiri pernah mengesahkan komitmen Iran ke atas perkara itu sebanyak dua kali sejak menyandang jawatan Presiden A.S. -ABNA24

/315