Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Sabtu

21 Oktober 2017

1:38:11 PTG
861712

EU Enggan Jadi ‘Orang Tengah’ Tangani Krisis

Kesatuan Eropah (EU) enggan menjadi ‘orang tengah’ dalam krisis melibatkan Catalonia kerana menyifatkan apa yang berlaku di Sepa­nyol itu sebagai isu domestik.

Foto: Getty

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kesatuan Eropah (EU) enggan menjadi ‘orang tengah’ dalam krisis melibatkan Catalonia kerana menyifatkan apa yang berlaku di Sepa­nyol itu sebagai isu domestik.

Pendirian EU itu juga dipercayai dibuat bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kumpulan pemisah di Eropah ketika ini.

Menurut beberapa diplomat, pemimpin-pemimpin EU ketika ini tidak membincangkan mengenai usaha Catalonia untuk berpisah daripada Sepanyol bagi mengelakkan kemarahan Madrid.

“Itu (krisis Catalonia) bukan agenda kami. Setiap daripada kita mempunyai emosi, pendapat dan penilaian tersendiri.

“Namun, bercakap mengenai perkara itu secara rasmi, jelas tiada ruang untuk campur tangan daripada EU,” kata Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk ketika menghadiri Sidang Kemuncak EU di sini.

Kenyataan Tusk turut disokong oleh beberapa pemimpin yang menghadiri sidang tersebut termasuk Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut mengambil peluang untuk mengadakan pertemuan peribadi dengan Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy bagi membincangkan isu berkenaan.

“Beliau (Macron) yakin keupayaan Rajoy untuk menyelesaikan krisis terbabit,” kata seorang diplomat Perancis.

Semalam, kerajaan Sepanyol mengumumkan akan meneruskan langkah menggantung kuasa autonomi Catalonia mengikut Artikel 155 dalam Perlembagaan Sepanyol 1978.

Tindakan itu dilakukan berikutan keengganan pemimpin pemisah Catalonia menarik balik ugutan untuk mengisytiharkan kemerdekaan wilayah terbabit.

Sementara itu, Sepanyol membuat persiapan merampas kuasa daripada Catalonia ketika parti-parti politik mendesak supaya pilihan raya diadakan sebagai cara menamatkan krisis politik terburuk Sepanyol dalam beberapa dekad.

Dalam perkembangan lain, sektor pelancongan di Catalonia merosot sehingga 15 peratus susulan krisis yang berlaku di wilayah itu. – Reuters/Agensi