Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Khamis

26 Oktober 2017

2:23:46 PG
862614

Rayuan Teruskan Subsidi Obamacare Ditolak

Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) menolak untuk menyekat keputusan Presiden Donald Trump bagi menamatkan bayaran subsidi pemilik insurans kesihatan Obamacare.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) menolak untuk menyekat keputusan Presiden Donald Trump bagi menamatkan bayaran subsidi pemilik insurans kesihatan Obamacare.

Ia dianggap sebagai kejayaan Trump menentang peguam negara parti Demokratik yang sering mencabar polisi presiden itu di mahkamah.

Hakim Daerah AS, Vince Chhabria di San Francisco, berkata pemerintah persekutuan tidak perlu membuat pembayaran sementara menunggu proses litigasi ke atas subsidi berkenaan diselesaikan.

Chhabria, yang dilantik oleh bekas Presiden Demokratik, Barack Obama, menulis walaupun kes itu kelihatan cukup sengit, namun pentadbiran Trump mempunyai hujah lebih kuat sejak awal.

Pentadbiran Trump menamatkan pembayaran kepada penanggung insurans bulan ini, yang membantu menampung perbelanjaan perubatan untuk rakyat Amerika berpendapatan rendah.

Ia sebahagian daripada beberapa langkah Trump untuk menamatkan undang-undang penjagaan kesihatan yang diperkenalkan Obama, juga dikenali sebagai Akta Penjagaan Mampu Biaya.

Selepas keputusan Trump untuk menamatkan subsidi insurans, 18 negeri dan Daerah Columbia memohon perintah serta-merta untuk menghentikan langkah Trump sementara kes itu dipertikaikan.

Dalam keputusannya, Chhabria berkata, perintah kecemasan yang dipohon oleh negeri itu tidak diperlu. - Reuters