Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Ahad

29 Oktober 2017

2:12:36 PG
863198

Kerajaan Pusat Nafi Kemerdekaan Catalonia

Tidak sampai sejam warga Catalonia meraikan ‘kemerdekaan’ mereka, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memutuskan untuk membubarkan Parlimen wilayah itu dan memecat pemimpinnya, Carles Puigdemont serta semua ahli Kabinet Catalonia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tidak sampai sejam warga Catalonia meraikan ‘kemerdekaan’ mereka, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memutuskan untuk membubarkan Parlimen wilayah itu dan memecat pemimpinnya, Carles Puigdemont serta semua ahli Kabinet Catalonia.

Semalam, wilayah Catalonia mengumumkan kemerdekaan dari Sepanyol setelah Parlimennya mengadakan undian.

Dalam undian tersebut, sebanyak 70 undi menyokong diterima, dengan 10 lagi menolak dan dua kertas undi kosong.

Namun, Senat Sepanyol bertindak meluluskan peraturan berdasarkan Artikel 155 yang membolehkan kerajaan pimpinan Rajoy memerintah Catalonia secara langsung dari Madrid, sekali gus merampas kuasa autonomi wilayah itu.

Rajoy turut mengisytiharkan pilihan raya kecil wilayah itu pada 21 Disember ini bagi memi­lih pemimpin baharu menggantikan kesemua yang dipecat termasuk wakil Catalan ke Madrid dan Brussels.

“Puigdemont mempunyai peluang untuk kembali ke sisi undang-undang dan mengisytiharkan pilihan raya.

“Itu adalah apa yang warga Catalonia mahukan tetapi dia tidak mahu melakukannya, jadi kerajaan Sepanyol terpaksa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengembalikan keamanan dan kedaulatan di wilayah itu,” kata Rajoy.

Keputusan seumpama itu dilihat pertama kali dibuat sejak pemerintahan kuku besi Francisco Franco.

Menurut media tempatan, urusan pentadbiran wilayah tersebut kini diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Sepanyol, Soraya Saenz de Santamaria dan Kementerian Dalam Negeri Sepanyol dilaporkan telah mengetuai polis Catalonia selepas Ketua Polisnya, Josep Lluis Trapero turut dipecat.

Pemerhati memberi amaran krisis mungkin berlaku, dengan pegawai dan kakitangan awam Catalonia berkemungkinan mengingkari arahan daripada wakil sementara yang dihantar Kerajaan Pusat.

“Ketegangan kemungkinan terus memuncak dalam masa beberapa hari lagi. Penunjuk perasaan mungkin cuba menghalang polis daripada mengusir Kabinet Catalonia. Ini meningkatkan risiko pertempuran ganas,” kata kumpulan penganalisis risiko, Teneo Intelligence.

Puigdemont dilaporkan menggesa para penyokongnya untuk mengekalkan momentum sokongan mereka secara aman namun Pendakwaraya Sepanyol menegaskan mereka akan memfailkan dakwaan pemberontakan terhadapnya minggu depan.

Di bawah undang-undang Sepanyol, jenayah pemberontakan boleh dihukum sehingga 30 tahun penjara dan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol juga dilaporkan telah memulakan semakan terhadap undian yang dibuat Parlimen Catalonia semalam.

Majoriti negara-negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk Britain menyokong langkah yang dilakukan Rajoy begitu juga Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, kelab bola sepak FC Barcelona, Espanyol dan Girona masing-masing mengunci mulut apabila ditanya mengenai masa depan mereka dalam Liga Sepanyol ekoran pergolakan yang berlaku.

Jurulatih pasukan FC Barcelona, Ernesto Valverde menegaskan hanya mahu memfokuskan usaha untuk memenangi perlawanan menentang Athletic Bilbao dan mene­rima segala keputusan mengenai masa depan pasukan itu. – agensi