Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Rabu

1 November 2017

5:13:44 PTG
863968

Perintah Darurat Perancis Ditarik Balik

Dua tahun selepas 130 orang terkorban dalam beberapa serangan terancang militan di sini, Perancis akhirnya menarik balik perintah darurat secara rasmi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Dua tahun selepas 130 orang terkorban dalam beberapa serangan terancang militan di sini, Perancis akhirnya menarik balik perintah darurat secara rasmi.

Ia digantikan dengan undang-undang keselamatan baharu yang disifatkan pengkritik sebagai mengehadkan hak kebebasan awam.

Undang-undang anti keganasan baharu yang berkuat kuasa mulai hari ini itu memperluaskan kuasa polis untuk menggeledah premis, menjalankan pengintipan elektronik dan menutup masjid atau lokasi lain yang disyaki menyebarkan dakyah kebencian.

"Jangan fikir perintah darurat berakhir kita tidak akan berjaga-jaga, ia adalah sebaliknya. Tahap ancaman di mana-mana saja di dunia kini adalah tinggi," kata Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe ketika melawat polis yang menjaga Menara Eiffel di Paris.

Undang-undang baharu itu memperkenalkan beberapa langkah di bawah perintah darurat kepada undang-undang biasa, namun beberapa perubahan dilakukan.

Salah satu daripadanya membenarkan Kementerian Dalam Negeri membentuk kepungan keselamatan yang besar jika wujud ancaman tanpa kelulusan hakim yang mengehadkan pergerakan penduduk atau kenderaan.

Kerajaan juga diberikan kuasa untuk menggeledah kawasan dalam kepungan ini. - Reuters