Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

3 November 2017

7:00:12 PG
864235

Perjanjian Nuklear Iran Tidak Boleh Disemak Semula: Rusia Dan Perancis

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron telah berbincang berhubung perjanjian nuklear Iran tahun 2015 di dalam perbualan telefon mereka. Kedua-dua pemimpin dunia itu menekankan perihal pentingnya bagi setiap pihak yang terlibat untuk mengimplementasikan perjanjian itu serta memeliharanya daripada sebarang semakan semula.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron telah berbincang berhubung perjanjian nuklear Iran tahun 2015 di dalam perbualan telefon mereka. Kedua-dua pemimpin dunia itu menekankan perihal pentingnya bagi setiap pihak yang terlibat untuk mengimplementasikan perjanjian itu serta memeliharanya daripada sebarang semakan semula.

Macron pada hari Khamis menelefon Putin untuk bertanya daripada beliau berkenaan kesimpulan lawatan berprofil tinggi pemimpin Rusia itu ke Tehran sebelum ini.

"Berhubung perkara ini, kedua-dua pemimpin tersebut menegaskan tentang keperluan yang wujud (bagi semua pihak) untuk dengan teliti mengimplementasikan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) berhubung program nuklear Iran. Mereka juga menegaskan bahawa sebarang tindakan untuk menyemak semula perjanjian ini secara unilateral tidak boleh diterima sama sekali," kata perkhidmatan akhbar Kremlin.

Di bawah JCPOA, Tehran bersetuju untuk menghadkan program nuklearnya dan sebagai ganti, kuasa Barat akan menamatkan segala sekatan ke atas Iran berhubung program itu.

Walaupun Presiden Barrack Obama memuji perjanjian tersebut sambil menganggapnya sebagai salah sebuah pencapaian penting di dalam kariernya, Presiden Donald Trump mengecam perkara itu dan memanggilnya sebagai sebuah perjanjian yang "memalukan."

Trump pada bulan lalu enggan mengesahkan komitmen Tehran terhadap JCPOA sambil memanggil Kongres untuk memperbetulkan kelemahan yang wujud di dalam perjanjian itu.

Kongres A.S kini memiliki tempoh kurang daripada 60 hari untuk membuat keputusan sama ada untuk mengenakan semula sekatan berkaitan atau sebaliknya.

IAEA pula pada hari Isnin lalu sekali lagi mengesahkan kepatuhan Tehran terhadap komitmen mereka di dalam JCPOA. Mereka juga mengatakan bahawa para penyiasat PBB tidak menghadapi sebarang masalah untuk melaksanakan tugas mereka.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif pada akhir Oktober berkata bahawa pentadbiran A.S telah melakukan pelabagai usaha untuk menghalang Iran daripada memperolehi manfaat daripada JCPOA. Beliau mengatakan bahawa tindakan itu sama sekali bertentangan dengan artikel 26, 28 dan 29 perjanjian nuklear itu. -ABNA24

/315