Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Bernama
Rabu

15 November 2017

6:08:17 PTG
867102

Beberapa Letupan Kedengaran, Tentera Zimbabwe Nafi Rampasan Kuasa

Beberapa letupan kedengaran di Harare, Zimbabwe awal pagi hari ini. Ianya 2 hari selepas tentera mengancam untuk “campur tangan” bagi menamatkan krisis politik di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Beberapa letupan kedengaran di Harare, Zimbabwe awal pagi hari ini. Ianya 2 hari selepas tentera mengancam untuk “campur tangan” bagi menamatkan krisis politik di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Tentera Zimbabwe berkata mereka menyasarkan “penjenayah” di sekeliling Presiden Robert Mugabe yang mencetuskan penderitaan sosial dan ekonomi, tetapi mereka meyakinkan yang pemimpin 93 tahun itu dan keluarganya “selamat”, dan mereka bukan berniat mengambil alih kerajaan.

Bunyi tembakan didengari berdekatan dengan kediaman peribadi Mugabe, tambah laporan itu.

Askar Zimbabwe dan tentera perisai menghalang jalan menuju ke pejabat kerajaan, parlimen dan mahkamah di tengah Harare, kata seorang saksi Reuters hari ini.

Berdekatan itu rakyat Zimbabwe sibuk beratur untuk mendapatkan wang tunai di luar bank sementara teksi membawa orang awam ke tempat kerja.

“Kami menyasarkan penjenayah di sekeliling beliau (Mugabe) yang melakukan jenayah yang mencetuskan penderitaan sosial dan ekonomi di negara untuk membawa mereka ke muka pengadilan,” kata Ketua Logistik Staf Zimbabwe, Mejar SB Moyo melalui siaran kebangsaan hari ini.

“Sebaik sahaja kami mencapai misi kami, kami menjangka situasi itu akan kembali normal.”

Minggu lalu, Mugabe memecat Naib Presiden Emmerson Mnangagwa, sekutu politiknya selama lebih 40 tahun, atas tuduhan menipu dan tidak setia.

Panglima Tentera Constantino Chiwenga yang mengeluarkan kenyataan pada Isnin berkata, penyingkiran pegawai parti pemerintah kanan harus berakhir “serta-merta”.

Berikutan itu, pada Selasa parti pemerintah ZANU-PF mengecam kenyataan panglima tentera itu yang mengancam untuk campur tangan dalam pertikaian politik.

Kenyataan Chiwenga keterlaluan dan boleh menggugat keamanan serta kestabilan negara, kata jurucakap parti, Simon Khaya Moyo dalam kenyataan.

Tentera menahan Menteri Kewangan Ignatius Chombo hari ini, menurut satu sumber kerajaan.

Chombo juga seorang ahli dan pemimpin satu puak parti pemerintah ZANU-PF yang dipanggil sebagai “G40”, diketuai oleh isteri Mugabe, Grace, yang sudah lama bersaing untuk menggantikan Mugabe.

Tentera ditempatkan merentasi ibu negara Zimbabwe, Harare, sejak Selasa dan sudah merampas stesen penyiaran tempatan selepas parti pemerintah Mugabe, ZANU-PF mengenakan tuduhan khianat ke atas ketua tentera, menyebabkan spekulasi tentang rampasan kuasa tersebar luas.

Mugabe telah memimpin Zimbabwe untuk 37 tahun.

Berbeza dengan statusnya di rantau Afrika, Mugabe dicerca di Barat sebagai seorang pemerintah kuku besi yang memusnahkan salah satu negara Afrika paling berpotensi, akibat pengurusan ekonomi yang teruk dan kesanggupan menggunakan keganasan bagi mengekalkan kuasa.