Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Ahad

19 November 2017

12:43:37 PTG
867751

Kapal Perang AS Rosak Dilanggar Bot Tunda

Sebuah kapal perang Amerika rosak selepas dilanggar sebuah bot tunda ketika menjalani latihan di perairan Jepun.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah kapal perang Amerika rosak selepas dilanggar sebuah bot tunda ketika menjalani latihan di perairan Jepun.

Tentera Laut Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata, ini adalah kejadian terbaru membabitkan insiden seumpama itu di Asia.

Kapal pemusnah peluru berpandu USS Benfold itu sedang mengambil bahagian dalam satu latihan di Teluk Sagami semalam, apabila dirempuh sebuah bot tunda yang hilang kawalan.

AS dan Jepun kini sedang melaksanakan latihan bersama tentera laut selama 10 hari yang akan berakhir 26 November nanti.

Objektif latihan itu adalah untuk bersiap siaga menghadapi ancaman Korea Utara yang lengkap dengan senjata nuklear dan peluru berpandu balistik antara benua.

Kenyataan daripada pasukan ke-7 menyebut, kemalangan lewat malam tadi itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan manakala kapal itu pula hanya mengalami kerosakan kecil, termasuk kesan calar.

Pasukan ke-7 itu terbabit dalam lebih daripada satu kemalangan di Asia sepanjang tahun ini.

Ogos lalu, kapal USS John S McCain berlanggar dengan sebuah kapal minyak, menyebabkan 10 kelasi maut manakala lima lagi cedera. - AFP