Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

1 Disember 2017

7:46:54 PG
870221

Rumah Putih Tidak Akan Pecat Tillerson

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Huckabee Sanders berkata Rex Tillerson akan kekal sebagai Setiausaha Jabatan Negara, namun enggan menyatakan sama ada Presiden Donald Trump masih mempunyai keyakinan ke atas beliau.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Huckabee Sanders berkata Rex Tillerson akan kekal sebagai Setiausaha Jabatan Negara, namun enggan menyatakan sama ada Presiden Donald Trump masih mempunyai keyakinan ke atas beliau.

Sanders membuat kenyataan itu di dalam sebuah sidang akhbar yang dianjurkan pada hari Khamis selepas beberapa agensi berita mengeluarkan laporan bahawa Rumah Putih sedang menyediakan pelan untuk menggantikan Tillerson dengan Pengarah CIA, Mike Pompeo yang merupakan sekutu kuat Trump.

Sanders juga ditanya berulang-kali sama ada Tillerson masih memiliki sokongan daripada Presiden Trump di sebalik laporan yang mendedahkan tentang perubahan staf di jabatannya.

"Apabila presiden kehilangan keyakinan ke atas mana-mana individu, mereka tidak akan lagi berkhidmat di mana mereka sedang ditugaskan," jawab Sanders kepada soalan wartawan.

Sanders turut berkata bahawa Setiausaha Jabatan Negara itu "akan terus bekerjasama untuk mengakhiri tahun (2017) yang dilihat kami sebagai tahun yang sangat luar biasa."

"Saya berpendapat bahawa masa hadapannya sekarang adalah untuk terus bekerja keras sebagai Setiausaha Jabatan Negara A.S, terus bekerja dengan presiden, dan untuk melaksanakan agenda beliau (presiden)," tambah Sanders.

Para pegawai setia pentadbiran Donald Trump sebelum ini pada hari Khamis berkata bahawa Trump sedang merancang sebuah pelan untuk menggantikan Tillerson dengan Pompeo, lapor Reuters.

Pengarah CIA yang berusia 53 tahun itu setakat ini telah menunjukkan pendirian yang keras berhubung dasar luar A.S, khususnya perkara yang berkaitan dengan Iran dan sering bercakap perihal bagaimana agensinya sedang menjadi semakin agresif termasuk fokus mereka untuk menugaskan lebih ramai agen di luar negara.

Para pegawai yang bercakap kepada Reuters itu turut berkata bahawa tempat Pompeo itu akan digantikan oleh Senator Republikan, Tom Cotton yang merupakan penyokong kuat Trump di Kongres.

Senator pro-Israel itu kerap-kali dilihat berusaha untuk bertindak tegas ke atas Iran. Cotton sebelum ini turut menggesa Trump untuk tidak mengesahkan kepatuhan Tehran terhadap perjanjian nuklear tahun 2015.

Akan tetapi, masih belum jelas bahawa Presiden Trump akan memecat Tillerson yang dilihat berbeza  pendapat dengan ketuanya berhubung isu Korea Utara dan beberapa isu lain. Tillerson dilihat mahu mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati berhubung isu program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert turut membuat kenyataan untuk meredakan implikasi negatif daripada laporan sebelumnya dengan berkata bahawa Ketua Staf Rumah Putih, Joh Kelly telah menelefon Tillerson untuk memberitahunya bahawa berita itu tidak benar.

Ketegangan di antara Tillerson dan Trump telah berlanjutan selama beberapa bulan dan terkadang perbezaan mereka boleh dilihat secara nyata berhubung beberapa polisi kritikal pentadbiran Trump termasuk isu Iran dan Korea Utara.

Sebagai contoh, Tillerson sebelum ini berkata bahawa Iran "secara teknikalnya patuh" kepada perjanjian nuklear tahun 2015.

Kenyataan itu sama sekali berbeza dengan penilaian Trump yang mengatakan bahawa perjanjian itu merupakan sebuah perkara yang "memalukan" kepada A.S

Trump turut menuduh Iran telah bertindak tidak selari dengan perjanjian nuklear antarabangsa itu, sedangkan Tillerson dilihat bekerja keras untuk mengekalkan A.S di dalam perjanjian nuklear tahun 2015 itu. Perkara itu dilakukannya di sebalik retorik keras Presiden A.S ke atas perjanjian itu.

Tillerson juga dilihat berbeza pendapat dengan Presiden Donald Trump berhubung isu Korea Utara.

Tillerson berkata bahawa Washington mengekalkan hubungan langsung dengan Pyongyang di sebalik ancaman Trump untuk menyerang negara Asia itu secara ketenteraan.

Setiausaha Jabatan Negara itu sebelum ini turut menafikan sebuah laporan daripada NBC yang menyatakan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada musim panas ini akibat daripada perbezaan pendapat di antara beliau dan Tump.

NBC pada awal Oktober lepas melaporkan bahawa Tillerson memanggil Trump sebagai seorang yang "dungu" selepas sebuah mesyuarat di Pentagon dengan beberapa anggota keselamatan kebangsaan dan beberapa anggota kabinet.

Beberapa hari kemudiannya, Trump mengkritik keras Tillerson di dalam sebuah temu ramah dengan majalah Forbes sambil berkata bahawa beliau lebih bijak daripada ketua diplomat A.S itu. -ABNA24

/315