Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Harian Metro
Sabtu

9 Disember 2017

2:57:32 PTG
871741

Umpama Malapetaka

Kebakaran hutan dan belukar di selatan California semakin buruk kelmarin sehingga keadaan di kawasan terjejas dianggap umpama malapetaka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kebakaran hutan dan belukar di selatan California semakin buruk kelmarin sehingga keadaan di kawasan terjejas dianggap umpama malapetaka.

Ribuan anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran yang merebak di seluruh selatan California termasuk di pinggir bandar Los Angeles, bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS).

Sejak lima hari lalu, sekurang-kurangnya 500 bangunan musnah dan lebih 190,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Angin kencang selaju 130 kilometer sejam mendorong api semakin marak, sehingga mewujudkan keadaan umpama malapetaka di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pegawai di Jabatan Sherif Ventura, Tim Lohman melaporkan, hanya satu kematian direkodkan setakat ini.

Sebanyak enam kebakaran utama dilaporkan kelmarin, dengan api kini semakin menuju ke arah selatan di Santa Barbara dan San Diego.

Seorang pegawai memberitahu, angin kencang dijangka berlanjutan sehingga hari ini sekali gus membuatkan keadaan semakin buruk.

Lebih 4,000 anggota bomba, puluhan pesawat dan helikopter dikerahkan untuk memadam kebakaran di Los Angeles dan Ventura.

Dalam masa kira-kira 90 minit, dua kebakaran merebak dengan cepat ke bandar Murrieta, meranapkan lebih 900 hektar tanah dan mengancam beratus kediaman.

Menurut laporan, kekuatan angin yang sukar diramal selain keadaan kering akibat kurang menerima hujan menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas.

Kediaman artis Hollywood yang berhampiran kawasan kebakaran seperti jutawan SpaceX, Elon Musk dan bintang pop Beyonce serta selebriti terkenal lain turut terkena tempias.

Penyanyi Lionel Richie terpaksa membatalkan konsertnya bagi membantu keluarganya berpindah dari kawasan berkenaan begitu juga model Chrissy Teigen, isteri kepada penyanyi terkenal John Legend.