Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Sabtu

6 Januari 2018

5:31:10 PTG
876070

A.S Dikritik Di Dalam Sesi Majlis Keselamatan PBB

Majlis Keselamatan PBB akhirnya akur dengan tekanan Amerika Syarikat yang menggesa anggotanya untuk bertemu dalam membincangkan perkembangan terkini yang berlaku di Iran. Akan tetapi sesi tersebut tidak berjalan seperti yang dikehendaki Washington apabila pemegang kuasa veto yang lain termasuk sekutu Washington sendiri menggunakan pertemuan itu untuk mengkritik Rumah Putih yang dianggap telah menggunakan majlis PBB itu untuk melakukan campur tangan di dalam urusan domestik Tehran sambil berusaha untuk mengaitkan perkembangan tersebut dengan perjanjian nuklear JCPOA.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Majlis Keselamatan PBB akhirnya akur dengan tekanan Amerika Syarikat yang menggesa anggotanya untuk bertemu dalam membincangkan perkembangan terkini yang berlaku di Iran. Akan tetapi sesi tersebut tidak berjalan seperti yang dikehendaki Washington apabila pemegang kuasa veto yang lain termasuk sekutu Washington sendiri menggunakan pertemuan itu untuk mengkritik Rumah Putih yang dianggap telah menggunakan majlis PBB itu untuk melakukan campur tangan di dalam urusan domestik Tehran sambil berusaha untuk mengaitkan perkembangan tersebut dengan perjanjian nuklear JCPOA.

Di dalam sesi hari Jumaat tersebut, Duta A.S ke PBB, Nikki Haley membuat kenyataan yang diperbesar-besarkan berhubung tunjuk perasaan ganas yang tercetus di beberapa buah bandar Iran pada minggu lepas dan berkata bahawa Washington akan berdiri "teguh" di belakang para penunjuk perasaan. Haley juga berjanji kepada mereka untuk memujuk anggota Majlis Keselamatan yang lain untuk menyertai perjuangan A.S itu.

Percubaan A.S sebelum ini untuk menggesa ahli anggota Majlis Keselamatan PBB supaya bertemu dan berbincang berkenaan isu yang sama telah menemui kegagalan.

Akan tetapi, usaha Haley itu menemui kegagalan apabila kenyataan kerasnya ke atas Iran menerima respon yang dingin daripada Rusia, China, Perancis dan beberapa anggota tanpa kuasa veto yang lain seperti Sweden.

Beberapa bandar Iran pada minggu lepas menyaksikan beberapa tunjuk perasaan ganas yang menyusuli bantahan aman warga awam ke atas kondisi ekonomi negara itu serta kenaikan harga barang.

A.S menyalahgunakan platform Majlis Keselamatan: Rusia

Duta Rusia ke PBB, Vasily Nebenzya menuduh A.S sebagai telah "menyalahgunakan" platform Majlis Keselamatan PBB.

"Mengapa A.S yang merupakan anggota kekal Majlis Keselamatan serta salah sebuah pihak yang menulis piagam PBB bertindak meremehkan Majlis Keselamatan yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa? Saya fikir, adalah jelas bahawa topik yang dipilih pada hari ini tidak termasuk di dalam parameter yang ditetapkan oleh Piagam PBB buat Majlis Keselamatan," kata beliau.

Menurut wakil Rusia tersebut, perhimpunan itu sebenarnya dianjurkan untuk melemahkan kedudukan perjanjian nuklear tahun 2015 yang sebelum ini ditandatangani oleh Tehran dan enam buah kuasa besar dunia.

"Kalian melemahkan tenaga Majlis Keselamatan yang sepatutnya meletakkan fokusnya di dalam mengatasi krisis utama di Afghanistan, Syria, Libya, Iraq, Yaman, DPRK dan benua Afrika. (Di sebalik memberikan perhatian kepada isu tersebut), kalian mengusulkan kami untuk campur tangan di dalam urusan domestik negara lain," kata beliau lagi.

"Kami tidak berminat untuk menyahstabilkan Iran ataupun mana-mana negara lain," tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Duta China ke PBB Wu Haitao berkata bahawa Majlis Keselamatan PBB bertanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa dan bukanlah sebuah "pentas untuk membicarakan hak asasi manusia di negara lain."

"Situasi di Iran tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada keselamatan dan keamanan antarabangsa. Membicarakan isu domestik Iran bukanlah sesuatu perkara yang terletak di dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan seperti yang tertera di dalam Piagam PBB," kata beliau. -ABNA24

-ABNA24