Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Bernama
Jumaat

26 Januari 2018

1:47:08 PTG
879282

Palestin Kecam Kenyataan Trump Mengenai Timur Tengah

Kenyataan "tidak bertanggungjawab" Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengenai keamanan di Timur Tengah mencetuskan kemarahan rakyat Palestin, lapor agensi berita Xinhua.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kenyataan "tidak bertanggungjawab" Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengenai keamanan di Timur Tengah mencetuskan kemarahan rakyat Palestin, lapor agensi berita Xinhua.

Trump di Forum Ekonomi Dunia yang diadakan di Davos, Switzerland pada Khamis lepas berkata, isu Baitulmaqdis tidak dimasukkan dalam agenda perbincangan Timur Tengah dan sudah tiba masanya memulakan rancangan damai "yang sangat baik untuk rakyat Palestin dan Israel."

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat Palestin hanya boleh mendapatkan bantuan kewangan dari AS jika bersetuju untuk meneruskan rundingan damai dengan Israel.

Menurut Trump, rakyat Palestin "tidak menghormati AS pada minggu lalu kerana memulaukan lawatan Naib Presiden AS Mike Pence."

Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rdineh dalam satu kenyataan rasmi berkata, jika Baitulmaqdis dikecualikan daripada rundingan, AS juga akan dikecualikan daripada terlibat dalam proses damai.

Tegasnya, AS tidak mempunyai peranan dalam proses rundingan damai itu, selagi tidak menarik balik keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Kami mengecam dan menolak, dasar menggunakan wang untuk mengugut rakyat Palestin supaya melutut kepada AS," kata jurucakap itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat berkata, "Kenyataan Trump menghina umat Islam, Kristian dan Yahudi di seluruh dunia."

"Mereka yang percaya masalah Baitulmaqdis dikecualikan dari meja perundingan, perlu tahu bahawa keamanan juga akan lenyap," kata Erekat dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ucapan Trump itu juga jelas menunjukkan beliau tidak layak dan sesuai menjadi penaja rundingan damai.

Pada April 2014, rundingan damai berterusan selama sembilan bulan antara Israel dan Palestin yang ditaja AS, berakhir tanpa sebarang kejayaan.

Pada 6 Disember tahun lepas, Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan berhasrat memindahkan kedutaan negaranya dari Tel Aviv ke bandar itu.

Israel mahu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara kekal, sedangkan Palestin menganggap bahagian timur bandar itu, yang diduduki Israel pada 1967, sebagai ibu negara Palestin yang merdeka. - Bernama