Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Free Malaysia Today
Selasa

30 Januari 2018

4:29:57 PTG
880019

AS Tarik Sekatan Kemasukan Pelarian Dari 11 Negara

Amerika Syarikat (AS) semalam menarik balik sekatan kemasukan ke atas pelarian dari 11 negara “berisiko tinggi”, tetapi mereka yang ingin memasuki AS perlu melalui kawalan lebih ketat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat (AS) semalam menarik balik sekatan kemasukan ke atas pelarian dari 11 negara “berisiko tinggi”, tetapi mereka yang ingin memasuki AS perlu melalui kawalan lebih ketat.

Pemohon dari 11 negara itu bagaimanapun tidak dinamakan, tetapi difahamkan ia termasuk 10 negara majoriti Islam serta Korea Utara yang akan berdepan penilaian “berasaskan risiko” lebih ketat sebelum dibenarkan memasuki AS.

“Ia sangat kritikal untuk kami tahu siapa yang memasuki Amerika Syarikat,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kirstjen Nielsen.

“Langkah keselamatan tambahan ini akan menjadikan ia lebih sukar untuk individu yang berniat jahat mengeksploitasi program pelarian kami, dan kami akan mengambil pendekatan lebih berasaskan risiko untuk melindungi tanah air.”

Sebanyak 11 negara yang tidak dinamakan, dikenakan larangan itu pada Oktober lalu, apabila pentadbiran Trump mengkaji semula dasar pelariannya.

Tetapi, kumpulan pelarian berkata, 11 negara itu terdiri daripada Mesir, Iran, Iraq, Libya, Mali, Korea Utara, Somalia, Sudan Selatan, Sudan, Syria dan Yaman.

Seorang pegawai kanan pentadbiran yang enggan dikenali memberitahu wartawan, dasar penilaian keselamatan ketat untuk 11 negara itu tidak menyasarkan umat Islam.

“Kebenaran masuk kami tidak ada kaitan dengan agama,” kata pegawai itu sambil menambah “tiada apa yang baru secara khusus” mengenai saringan ketat untuk negara yang dianggap berisiko tinggi.

Trump mengambil pendirian lebih tegas terhadap pendatang dan pelarian dari semua negara sejak menjadi presiden setahun lalu.

Kemasukan pelarian tahunan dikurangkan lebih separuh kepada maksimum 45,000 orang pada tahun fiskal 2018 yang berakhir 31 September.