Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Ahad

11 Februari 2018

4:18:16 PTG
881565

Pesawat Rusia terhempas, 71 penumpang maut

Sebuah pesawat Rusia membawa 65 penumpang dan enam kru dilaporkan terhempas selepas ia hilang dari radar selama dua minit, hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah pesawat Rusia membawa 65 penumpang dan enam kru dilaporkan terhempas selepas ia hilang dari radar selama dua minit, hari ini.

Pesawat Antonov An-148 milik Saratov Airline itu dalam perjalanan menuju ke bandar Orsk berhampiran sempadan Kazakhstan selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di Moscow.

Agensi berita Interfax memetik sumber kecemasan melaporkan pesawat itu dipercayai terhempas berhampiran Argunovo terletak kira-kira 80 kilometer tenggara Moscow.

"Tiada mangsa terselamat. Penjejak menunjukkan ia telah mencapai ketinggian kira-kira 1,950 meter ketika insiden itu berlaku," menurut laporan itu lagi.

Sementara itu, Kementerian Kecemasan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan keselamatan telah dihantar ke lokasi kejadian selepas bangkai pesawat tersebut ditemui yang mana beberapa mayat penumpang turut ditemui berhampiran bandar kecil Zvyozdny.

Punca nahas itu masih belum diketahui, namun Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh cuaca buruk atau kesilapan juruterbang. - Agensi