Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

7 Mac 2018

3:17:49 PTG
884798

Iran Dan Rusia Berbincang Berhubung Pembelian Pesawat Sukhoi Superjet

Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak mengatakan Moscow dan Tehran telah membincangkan berhubung penghantaran pesawat penumpang Sukhoi Superjet 100 ke Iran di sebalik ketidaktentuan berkenaan kontrak negara Timur Tengah itu dengan syarikat Boeing Amerika Syarikat dan Airbus Eropah.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak mengatakan Moscow dan Tehran telah membincangkan berhubung penghantaran pesawat penumpang Sukhoi Superjet 100 ke Iran di sebalik ketidaktentuan berkenaan kontrak negara Timur Tengah itu dengan syarikat Boeing Amerika Syarikat dan Airbus Eropah.

"Kami membincangkan kemungkinan pembelian Sukhoi Superjet 100 oleh rakan kami dari Iran dan melakarkan pelan bagaimana perkara tersebut boleh dilaksanakan," lapor media Russia yang memetik kata menteri itu yang bercakap di Moscow pada hari Selasa.

Beliau membuat kenyataan itu selepas mesyuarat jawatankuasa bersama yang terdiri daripada pegawai dari kedua-dua negara bersahabat itu. Novak berkata bahawa kedua-dua pihak juga bersetuju untuk membekalkan kenderaan buatan Rusia, seperti KAMAZ dan UAZ ke Iran.

"Hari ini kami berbincag berhubung penghantaran gerabak kereta api, setakat ini kami sudahpun menyerahkan 1,200 daripada angka (ditentukan sebelum ini) dan merancang untuk menyerahkan kira-kira 3,000 buah lagi pada tahun 2018," kata beliau yang dipertik oleh saluran TV, Rossiya-24.

Kedua-dua pihak juga sedang berusaha untuk menandatangani dokumen perdagangan bebas di antara Iran dan negara-negara Kesatuan Ekonomi Eurasia pada bulan Mei hadapan, kata Novak.

"Langkah untuk memasuki perjanjian sementara bagi penubuhan zon perdagangan bebas di antara Iran dan Kesatuan Ekonomi Eurasia yang kini sedang berada di tahap kemajuan yang memberangsangkan sepastinya akan memicu perkembangan baharu di dalam perdagangan dua hala dan kerjasama pelaburan," kata beliau lagi.

Rundingan berhubung penubuhan zon perdagangan bebas di antara Iran dan kumpulan negara lain termasuk Rusia, Armenia, Belarus, Kazakhstan dan Kyrgyzstan telahpun bermula sejak tahun 2015.

Novak berkata negara Rusia dan Iran juga perlu berusaha lebih keras lagi dalam rangka meningkatkan jumlah dagangan di antara kedua-dua pihak dengan menggunakan matawang mereka sendiri.

Menurut menteri Rusia itu, perdagangan dua hala kedua-dua negara itu pada tahun 2017 mencatatkan jumlah sebanyak USD 1.7 bilion. Akan tetapi, menurut beliau, "masih wujud masalah yang masih belum dapat diselesaikan".

"Menurut pendapat saya, usaha ke arah ini dengan tujuan untuk memastikan peningkatan jumlah dagangan dalam mata wang negara kebangsaan serta peringkasan prosedur pengiraan terkait adalah sangat penting," kata Novak.

Bulan lepas, Sukhoi Superjet 100 mendarat di lapangan terbang Tehran di Mehrabad untuk melalui proses penilaian oleh pakar penerbangan Iran dan pegawai terbabit dengan.

Pesawat (SSJ-100) yang dilengkapi dengan jet kembar dan 108 buah tempat duduk tersebut adalah salah satu daripada model yang sedang dipertimbangkan Iran untuk program pembaharuan aset pesawat serantau. Antara model yang turut dipertimbangkan adalah jet serantau Mitsubishi dan Embraer dari Brazil. Walaubagaimanapun, seperti Boeing dan Airbus, kedua-dua syarikat tersebut memerlukan pelepasan dari Pejabat Kawalan Aset Asing A.S (OFAC) sebelum sebarang bentuk perdagangan dengan Republik Islam dilaksanakan.

Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan sama ada untuk memberikan lesen kepada Boeing untuk menjual 80 pesawat kepada syarikat Iran Air di bawah perjanjian yang ditandatangani pada Disember 2016.

Boeing sebelum ini telah menandatangani perjanjian berasingan dengan Aseman Airlines dari Iran untuk penjualan sekurang-kurangnya 30 buah jet MAX Boeing 737.

Selain daripada itu, tentangan yang mungkin dilancarkan oleh Trump juga mampu menjejaskan perjanjian Iran Air dengan syarikat Airbus berhubung pembelian 100 buah jet penumpang. Syarikat penerbangan Iran sebelum ini telah menerima tiga buah jet Airbus pada 2017. Akan tetapi, penghantaran pertama Boeing dijangka akan berlaku sekitar Mei 2018.