Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Free Malaysia Today
Jumaat

16 Mac 2018

2:59:01 PTG
885939

Indonesia Gesa Asean Buat Rondaan Di Laut China Selatan

Indonesia melobi negara Asia Tenggara untuk menjalankan rondaan maritim di Laut China Selatan yang menjadi perebutan beberapa negara, termasuk sebahagian besarnya dituntut China, bagi meningkatkan tahap keselamatan, kata Menteri Pertahanan, Ryamizard Ryacudu, hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Indonesia melobi negara Asia Tenggara untuk menjalankan rondaan maritim di Laut China Selatan yang menjadi perebutan beberapa negara, termasuk sebahagian besarnya dituntut China, bagi meningkatkan tahap keselamatan, kata Menteri Pertahanan, Ryamizard Ryacudu, hari ini.

Indonesia berkata, ia tidak membuat tuntutan ke atas Laut China Selatan, tetapi berlaku pergeseran dengan China berhubung hak perikanan di sekitar kepulauan Natuna dan pertambahan tentera China di sana, menamakan semula kawasan utara zon ekonomi eksklusifnya serta mengakui tuntutan maritimnya.

Menteri Luar Austalia, Julie Bishop dan Menteri Pertahanan, Marise Payne mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan di Indonesia, Retno Marsudi serta Ryacudu di Sydney, menjelang Sidang Kemuncak Asean.

Australia menganjurkan mesyuarat itu, walaupun ia bukan anggota blok 10 negara bagi mengukuhkan hubungan politik dan perdagangan di rantau ini, ketika pengaruh China semakin kuat.

“Bagi Laut China Selatan, saya pergi kepada rakan — menteri pertahanan Asean – supaya setiap negara berdepan Laut China Selatan membuat rondaan sehingga 200 batu nautika, sekitar 230km,” kata Ryacudu dalam sidang media bersama.

Indonesia menumpukan 3 kawasan, iaitu Laut Sulu, Selat Melaka dan laut di sekitar pantai Thailand, kata Ryacudu merujuk kerjasama sedia ada dengan Thailand, Malaysia, Singapura, Vietnam, Kemboja dan Filipina.

“Jika kita melihat (sempadan) dari Vietnam ke Indonesia dan Filipina, kita dapat melihat kita meliputi hampir separuh daripada Laut China Selatan (dalam kawasan) yang kita ronda.”

Beijing menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, satu laluan perdagangan penting dan dipercayai mengandungi sejumlah besar minyak dan gas asli.

China turut membina pulau buatan di terumbu karang, ada yang dilengkapi pelabuhan dan lapangan terbang kecil, pembangunan yang mencetuskan kemarahan anggota Asean.

China turut menambah jumlah tentera yang ditempatkan di Laut China Selatan dan tentera udaranya pada bulan lalu berkata, jet pejuang Su-35 China mengambil bahagian dalam rondaan pertempuran sepanjang laluan menjadi perebutan itu.

Brunei, Malaysia, Vietnam dan Filipina yang merupakan anggota Asean, serta Taiwan turut membuat tuntutan ke atas lautan itu.

Minggu lalu, menteri luar China berkata, Beijing tekad melindungi keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, tetapi ada pihak luar cuba memburukkan keadaan.

China sebelum ini marah dengan Amerika Syarikat (AS) membuat rondaan di Laut China Selatan yang dianggapnya tindakan provokatif.

Australia — yang mendakwa ia tidak memihak dalam pertikaian Laut Selatan China, tetapi menyokong aktiviti kebebasan navigasi yang diketuai AS — pernah berkata ia tidak mempunyai rancangan menyertai rondaan bersama itu.

Secara rasminya, Sidang Kemuncak Asean memfokuskan usaha meningkatkan hubungan ekonomi lebih erat dalam kalangan anggota Asean dan Australia, serta menentang ancaman militan dari Timur Tengah kembali ke rantau ini.

Bishop berkata, Australia “sangat serius” dalam mempertimbangkan sebarang jemputan rasmi untuk menyertai kumpulan itu, satu langkah disokong Presiden Indonesia, Joko Widodo.